Skip to main content

Rencana

Semak mentaliti menjelang Sukan SEA

sukansea4.jpg
Dengan tarikh pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 semakin hampir, kita dihidangkan dengan pelbagai kejayaan manis atlit negara di pentas antarabangsa yang meningkatkan lagi keyakinan Malaysia untuk mengembalikan kejuaraan temasya dwi tahunan ini pada edisi ke-29 dilaman sendiri.

Dalam keterujaan menanti kunjungan kontinjen sukan terbaik dari seluruh Asia Tenggara, kita turut sama ghairah menyediakan kemudahan bertaraf dunia, selain fasiliti yang dipastikan relevan pada setiap venue pertandingan di mana Kompleks Sukan Bukit Jalil antara lokasi yang tidak terkecuali dinaiktaraf dan kini digelar KL Sports City.

Menyentuh mengenai kemudahan, pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) yang menghubungkan Sungai Buloh ke Kajang baru-baru ini juga dianggap bertepatan dengan penganjuran Sukan SEA Ogos ini. Kini rakyat Malaysia boleh berbangga dengan hasil projek yang sama hebat atau mungkin lebih canggih berbanding negara jiran, Singapura yang cukup dikenali dengan pengangkutan awamnya yang efisen. Namun apakah rasa bangga sahaja sudah cukup untuk menzahirkan penghargaan?

Minggu ini boleh dilabelkan luar biasa. Bermula dengan rekod dunia yang dicipta atlit para negara, Ziyad Zolkefli, siapa sangka kerutan didahi pengendali skuad muda negara, Datuk Ong Kim Swee boleh ditukar kepada senyuman sehingga ke telinga apabila pasukannya mendapat tiket automatik ke final kejohanan AFC bawah 23. Tetapi apa yang menyedihkan, sepanjang minggu ini juga kita mendapat perkhabaran bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia masih tepu dengan mentaliti kelas ketiga.

Belum pun sempat kita menjaja kehebatan prasarana ini kepada atlit handalan Asia Tenggara yang mungkin kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia, pengangkutan awam yang dibina sebagai medium untuk memudahkan orang ramai telah diancam gejala vandalisme. Ia bukan sekadar masalah menconteng dinding sahaja tetapi sesuatu yang lebih serius seperti kerosakan kerusi, paip dan tandas yang tidak dapat digunakan hanya selepas seminggu beroperasi.

Sekarang bayangkan apa pula yang akan terjadi pada Axiata Arena atau mungkin Velodrome yang baru dibina di Nilai sepanjang kira-kira 2 minggu penganjuran Sukan SEA nanti. Apakah situasi sama bakal mengganggu? Ketika atlit negara digesa pamer kualiti bertaraf dunia, tidak salah rasanya rakyat Malaysia yang datang memberikan sokongan nanti sama-sama menjaga maruah negara. Sekurang-kurangnya kejuaraan yang kita julang nanti tidak disulami laporan kurang enak, terutama membabitkan kebolehan Malaysia sebagai penganjur.

Jadi berbaki 26 hari lagi ini, mungkin kita boleh mula dengan menyemak kembali mentaliti masing-masing dan biasakan diri untuk tidak membuang plastik minuman atau makanan merata-rata dan jangan lupa puntung rokok pun dikira sebagai sampah tau. Kemudian, barulah kita boleh laungkan majulah sukan untuk negara. Semoga kita peroleh kejayaan!

Advertisement

Must Watch Video