Skip to main content

Rencana

Selepas Klopp akhiri badi, Liverpool akan akhiri kemarau

boxing-cover.jpg
Dua keping foto di bawah barangkali cukup untuk menyimpulkan nasib Liverpool yang kemarau kejuaraan dalam saingan tertinggi bola sepak Inggeris sejak 29 tahun lalu.

Namun, segala petanda terkini membayangkan ‘sumpahan’ panjang buat pasukan yang berumah di Anfield itu akan berakhir apabila tahun dan dekad beralih tinggal beberapa jam lagi.

The Reds tidak pernah memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak ia dijenamakan demikian pada 1992 di sebalik 18 kali bergelar juara liga, dengan yang terakhir pada 1990 (foto di atas), ketika ia masih dikenali sebagai Liga Divisyen Satu.

Liverpool terlepas untuk menjuarai EPL gara-gara tergelincirnya Steven Gerrard ketika menentang Chelsea menuju ke penghujung musim 2013/2014 sambil kekalahan kepada Manchester City musim lalu menyaksikan The Reds melepaskan kejuaraan kepada The Citizens dengan hanya perbezaan satu mata.


SEGALANYA BERAKHIR… tergelincirnya Gerrard membuka jalan kepada Demba Ba menjaringkan gol pendahuluan Chelsea dalam kemenangan 2-0 di Anfield pada 27 April 2014.

Mengambil kira bahawa Liverpool telah menguasai tangga pertama liga ketika sambutan Krismas sebanyak empat kali pada masa lalu tapi tidak pernah keluar sebagai juara, mampukah skuad kendalian Jurgen Klopp itu mengubah nasib musim ini? – itu pertanyaan yang dilontarkan akhbar Daily Mail.

Sekali lagi menduduki singgahsana liga buat kali kelima ketika sambutan Krismas hanya beberapa hari lalu, pastinya Liverpool tidak akan melupakan bagaimana mereka pada akhir musim dipintas Manchester City pada 2013-14 dan 2018-19 di samping dua kali kepada Manchester United pada 1996-97 dan 2008-09.

Sebaliknya, tuah lebih mengiringi Chelsea (tiga kali), Manchester United (dua kali), Manchester City (dua kali) di samping Leicester yang semuanya mampu menterjemahkan pendahuluan ketika Krismas untuk menjulang trofi EPL kesudahannya.

Keseluruhannya, sejumlah 14 daripada 27 musim, pasukan-pasukan yang menduduki tangga teratas ketika Krismas menyudahkan musim dengan bergelar juara.

Atau barangkali penyokong Liverpool tidak harus dipersalahkan jika mereka bersandarkan kepada kepercayaan tahayul untuk kemarau panjang pasukan mereka berakhir.

Hanya sehingga akhir Mei lalu, Klopp sering diperolok-olokkan setelah tewas enam daripada tujuh final membabitkan pasukan keendaliannya sehingga dia dianggap membawa ‘badi’.

Ketika masih mengendalikan Borussia Dortmund, pengurus berbangsa Jerman itu tewas dalam tiga final, dua daripadanya kepada Bayern Munich -- Liga Juara-Juara 2013 dan Piala Jerman 2014.

Kemudian, ketika berdepan Wolfsburg dalam final Piala Jerman 2015, sekali lagi Dortmund kecundang 1-3.

Tiga kegagalan final lagi berlanjutan buatnya selepas mengambil alih Liverpool -- Piala Capital One 2016 kepada Man City, Liga Europa 2016 kepada Sevilla dan Liga Juara-Juara 2018 kepada Real Madrid.


LEBUR...gol Leroy Sane pada minit ke-72 untuk kemenangan 2-1 City pada 4 Januari 2019

Namun, menyusuli kejayaan Klopp bersama Liverpool menjuarai final Liga Juara-Juara 2019 dengan menundukkan Tottenham 2-0 di Madrid pada 2 Jun lalu, bintang bertuahnya terus bersinar untuk menambah Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab dalam almari piala mereka.

Mengakui badi kegagalan final pernah mengganggu fikirannya, Klopp menegaskan ia dipercayainya bukanlah sesuatu yang akan berkekalan.

Dan memasuki tahun baru ini, sukar untuk menidakkan kepercayaannya Liverpool akhirnya akan mengakhiri kemarau 29 tahun lamanya.

Advertisement

Must Watch Video