RENCANA
Selamat kembali Nidzam Adha!
Selepas mempamerkan prestasi hambar dalam semua pertandingan pada 2018, akhirnya kerusi panas yang diduduki Ramon Marcote kini beralih kepada individu lain.
Ramon Marcote direhatkan untuk satu tempoh masa yang akan diberitahu kelak, namun Dayang pasti umum sudah mengerti bahawa istilah “direhatkan” dalam bola sepak sebenarnya adalah terma berlapik untuk melakukan penyingkiran biarpun beliau diberikan jawatan lain dalam Persatuan Bolasepak Kedah (KFA). Laporan akhbar tempatan turut menyatakan ianya diputuskan oleh pihak pengurusan KFA setelah melakukan mesyuarat tergempar.
Dayang sejujurnya tidak terkejut dengan tindakan KFA memandangkan pasukan pasukan lain telah pun mengambil tindakan sama lebih awal seperti Kelantan dan juga Selangor. Namun disebalik isu Marcote direhatkan, pembantunya yang juga bekas jurulatih Lang Merah musim lalu, Nidzam Adha Yusoff dilantik semula bagi membimbing pasukan Kedah.
Iklan
Kemampuan Nidzam Adha yang juga merupakan seorang bekas pemain bola sepak sudah pun dibuktikan sepanjang musim 2017 apabila berjaya membawa Kedah mara ke final Piala Malaysia, juara Piala Sumbangsih dan Piala FA selain kedudukan baik di saingan liga.
Jadi jika pencapaian Nidzam Adha sudah baik musim lalu, mengapa masih lagi mahukan jurulatih lain?
Dayang percaya situasi yang berlaku kini harus dijadikan pengajaran berguna kepada KFA agar mampu membuat keputusan yang lebih rasional dan tepat di masa akan datang.
Dayang juga mahu mengucapkan selamat maju jaya kepada Nidzam Adha Yusoff dan diharapkan, beliau mampu mengembalikan aksi Kedah ke tahap yang sebenar bagi menambahkan kemeriahan liga bola sepak Malaysia.
Must-Watch Video