Skip to main content

Rencana

Selamat istirahat Luis Enrique

copa-del-rey-010617_1.jpg
Luis Enrique kekal seorang yang sangat mementingkan kecergasan dirinya – pada usia 47 tahun, dia diketahui seorang ‘ultrafit’ yang banyak berbasikal dan berlari.

Namun, pada penghujung musim LaLiga 2016/17 yang memberikan tekanan dan sangat memenatkan daripada segi fizikal dan mental, dia kelihatan seorang yang sangat keletihan, dengan raut wajahnya banyak berkerut dibandingkan ketika dia mula mengambil alih Barcelona, tiga tahun lalu.

Seperti salah seorang jurulatih Barca sebelumnya, Pep Guardiola, boleh mengesahkan, tugas mengendalikan Barcelona boleh menghakis tenaga dan daya ketahanan sesiapa saja yang memikul tanggungjawab berkenaan – Pep sendiri mengambil cuti rehat setahun selepas meninggalkan Camp Nou.

Kini, ikatan Enrique dengan skuad Blaugrana terlerai sudah – susulan rasminya pelantikan bekas jurulatih Athletic Bilbao, Ernesto Valverde, sebagai pengganti – namun perpisahannya meraih rasa hormat seluruh penyokong Barca di sebalik pasukan itu tidak cukup konsisten untuk meraih mahkota LaLiga buat musim keempat berturut-turut.

Dalam pada itu, tiga musim gemilangnya di Camp Nou yang diwarnai gelaran ‘treble’ pada musim pertamanya, gelaran berganda pada musim kedua dan trofi Copa del Rey pada musim ketiga – untuk jumlah keseluruhan sembilan trofi – tetap amat membanggakan.

Benarlah kesimpulan bahawa Luis Enrique berupaya mengangkat kaki meninggalkan Barcelona tanpa sebarang sesalan dan berperasaan terlaksananya satu misi.

Kini, dengan Copa del Rey sebagai hadiah perpisahan – untuknya dan daripadanya – meluangkan masa untuk istirahat yang diharap-harapkannya dan membenarkan Barca terus bergerak ke hadapan di bawah kepemimpinan jurulatih baru dan idea-idea baru.

“Tiada langsung kesedihan sebenarnya, hanya kegembiraan,” Enrique dipetik sebagai berkata. “Saya sendiri yang memutuskan untuk angkat kaki – tiada tekanan mahupun desakan daripada sesiapa.

“Saya fikir ia adalah keputusan terbaik daripada saya, untuk pemain-pemain dan keseluruhan pasukan. Intensiti tugas ini menuntut dedikasi maksimum setiap hari dan tiga tahun yang saya lalui sudah memadai.”

Luis Enrique telah memenangi hampir segala-galanya sepanjang tempoh itu sejak menggantikan Gerard Martino pada 2014.

Bekas pemain tengah itu mengemudi Blaugrana kepada ‘treble’ gelaran LaLiga, Copa del Rey dan trofi Liga Juara-Juara pada 2015, disusuli Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab pada tahun yang sama. Dia menyambungnya dengan kejayaaan menjulang gelaran berganda liga-piala pada 2016.

“Jika seseorang memberitahu saya sewaktu ketibaan saya dulu bahawa saya berpeluang membantu pasukan meraih sembilan gelaran daripada 13 yang menjadi rebutan, saya akan menganggapnya gila.

“Ia harus amat indah untuk meraih gelaran LaLiga sekali lagi musim ini dan bersaing dalam Liga Juara-Juara hingga ke akhir tapi ia tidak ditakdirkan demikian,” hujahnya.

Mengatasi semua itu, hadiah perpisahan paling bermakna buat Enrique ialah rasa bangganya kerana telah dapat membantu penyokong Barcelona merayakan sedemikian banyak pencapaian ketika tempoh singkat tiga tahunnya di Camp Nou.

Selamat beristirahat Enrique, temui anda semula semusim atau dua lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video