Ketika nasib jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada, ibarat telur di hujung tanduk susulan siri kegagalan skuad kebangsaan di pentas antarabangsa, nasib berbeza pula dialami pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee.
Jurulatih berusia 46 tahun dari Melaka itu terus mendapat kepercayaan kepimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila khidmatnya dikekalkan untuk tempoh dua tahun lagi sehingga Disember 2019.
Ia menjadikan Kim Swee antara jurulatih paling lama berkhidmat dengan badan induk itu selain Aminuddin Husin dan Datuk K. Rajagobal sebelum ini.
Penulis ada mendedahkan perkhabaran ini dalam berita Nadi Arena minggu lalu dan Kim Swee dalam temubual itu mengakui cukup berterima kasih kepada Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Ia bukan sahaja kerana kontraknya dilanjutkan, tetapi bekas jurulatih Harimau Muda A yang pernah membimbing skuad kebangsaan itu turut diberi bantuan untuk proses lanjutan kursus kejurulatihan.
Penulis difahamkan, ia membabitkan kursus Lesen Profesional AFC, ini kerana hanya ada beberapa jurulatih tempatan sahaja mempunyai lesen itu, antaranya bekas jurulatih negara, B. Sathianathan, Rajagobal dan bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe.
Sememangnya, inisiatif daripada Tunku Ismail itu harus diberi pujian kerana baginda tetap mengambil berat mengenai masa depan Kim Swee untuk menjadi jurulatih harapan negara di masa hadapan.
Penulis difahamkan, Kim Swee akan menghadiri kursus berkenaan di Eropah selepas kempen Kejohanan AFC B-23 di China, Januari ini dan perkembangan itu juga tampak menjadi tonik terbaik menjelang kejohanan itu.
Selain Kejohanan AFC bawah 23, Kim Swee juga berdepan dua tugasan besar sepanjang khidmatnya nanti iaitu Sukan Asia Indonesia 2018 dan Sukan SEA Filipina 2019, yang bakal menyaksikan penampilan kelimanya dalam temasya dwitahunan itu sejak 2011.