Skip to main content

Rencana

Rujuk baliklah Zhuliang-ASUM

yang-zhuliang-021117.jpg
Saya masih ingat setahun lalu, bekas pengendali skuad terjun negara, Yang Zhuliang berkata: "Situasi sangat rumit. Hanya masa yang akan menentukan adakah saya berada di pihak yang benar".

Hari ini, Ahad, 23 Disember 2018,  penggantinya, Zhang Yukun pula meninggalkan Malaysia sekaligus meninggalkan kekosongan yang perlu diisi segera.

Soalnya, siapa calon pilihan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM)?

Adakah jurulatih itu memiliki rekod baik atau bertaraf dunia?

Siapa yang mencadangkan calon atau apa kriteria pemilihan?

Ingat, bukan mudah mencari jurulatih berkaliber. Skuad renang hilang khidmat Paul Birmingham sejak September lalu dan penggantinya masih gagal dilantik.

Itu renang, yang belum pernah raih pingat Sukan Olimpik. Bagaimana dengan terjun? Kita sandarkan harapan emas Olimpik Tokyo 2020 sama seperti badminton dan basikal trek.

"ASUM kata saya tidak bagus. Saya jurulatih kolot yang menolak sains sukan," kata Zhuliang ketika dihubungi di Australia.

Beliau menetap bersama anaknya di Melbourne.

Selepas 12 tahun membimbing Malaysia, melahirkan Yeoh Ken Nee, Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong hinggalah Kimberly Bong - Zhuliang kini lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

Saya yakin beliau masih merajuk dengan ASUM apabila ditamatkan kontrak pada Disember, tahun lalu hanya atas dakwaan mewujudkan suasana ketakutan dalam kem negara.

Itupun kerana kes gangguan seksual bekas penolong jurulatih negara, bukannya tindakan Zhuliang sendiri.

Saya menghubungi Presiden ASUM, Datuk Seri Shahidan Kassim dan beliau mengakui kehilangan Zhuilang satu kesilapan.

Saya juga menghubungi beberapa pegawai MSN megenai isu ini dan mereka setuju bahawa Zhuliang masih relevan membimbing Malaysia.

Dalam soal ini saya fikir ASUM atau MSN boleh ambil langkah awal pujuk Zhuliang. Itupun jika kita pentingkan kejayaan skuad terjun negara.

Jika ego masih menebal, lupakan saja kerana saya tahu beberapa penerjun negara juga tidak suka dengan sistem latihan Zhuliang yang terlalu keras.

Tapi percayalah, sistem itu yang membawa Malaysia berada di tahap ini.

Kepada pegawai ASUM dan MSN, keputusan di tangan anda. Tidak salah untuk mencuba, rujuk balik bukan satu dosa.
 

Advertisement

Must Watch Video