Skip to main content

Rencana

Rooney: Ke mana harus bawa diri? (bhg 3)

rooney-2-120617.jpg
Andai Wayne Rooney sudah pun membuat penampilan terakhirnya di Old Trafford, perpisahannya dengan kelab itu tidak harus semudah satu formaliti.

Pada ketika Rooney tidak lagi akan tampil dalam perancangan janka panjang Jose Mourinho, sebarang langkahnya untuk meninggalkan Old Trafford masih kelihatan bermasalah.
 
Salah satu di antara dia dan kelab berkenaan – kalaupun tidak kedua-duanya – harus berkorban daripada segi kewangan andainya Rooney mahu memulakan babak baru dalam kariernya jauh daripada ‘Theatre of Dreams’.

Senario paling ideal sudah pun berlalu Februari lalu apabila penyerang berusia 31 tahun itu berura-ura menimbangkan perpindahan ke kancah lumayan di China.

Ia kekal untuk dilihat jika opsyen itu masih akan menyusul pada musim panas ini – atau barangkali juga rasa berat hati Rooney untuk membawa diri ke Timur Jauh diatasi keinginannya untuk membantu United memenangi trofi musim depan.

Namun, Liga Super China tidak pernah terlintas sebagai sesuatu yang ideal buat penyerang itu yang jarang sekali menunjukkan hasrat untuk rela berjauhan daripada saudara-mara dan sahabat-handai di England.

Sambil dia harus diangkat selaku pemain bergaji termahal di planet ini jika mengubah haluan ke China, kekayaan semata-mata belum cukup untuk menambat hatinya tiga bulan lalu dan tiada jaminan ia akan berubah ketika ini.

Amerika Syarikat – tanpa kekangan bahasa buatnya – harus dilihat lebih munasabah tapi isu dia harus meninggalkan asal-usulnya di barat daya England tetap menjadi halangan.

Satu lagi isu dengan prospek perpindahan ke kedua-dua China dan Amerika Syarikat ialah impaknya terhadap cita-cita antarabangsa Rooney pada tahun berlangsungnya Piala Dunia.

Everton harus menjadi pertimbangan serius buatnya dan menepati segala keperluan tanpa perlu meninggalkan asal-usulnya, peluang terus beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dan menyerlahkan prestasi untuk pemerhatian penuh pengurus England, Gareth Southgate.

Wujud kepercayaan di sekitar Goodison Park bahawa Rooney akan membuat kepulangannya musim panas ini sambil pemain itu bersikap terbuka terhadap pilihan berkenaan.

Dalam pada itu, minat Everton terhadapnya dikatakan sudah mula kendur sambil justifikasi kewangan buat kelab itu sukar hendak diperoleh jika ia didasarkan kepada prestasi Rooney sendiri yang hanya tampil dalam 15 perlawanan buat United sepanjang musim 2016/17.

Pergilah ke mana saja kecuali China dan akibatnya, United boleh melupakan durian runtuh £30 juta (RM162 juta) yang harus kelab itu raih sebagai yuran perpindahan.

Sekalipun selaku seorang ejen bebas, pihak-pihak yang berminat haruslah diyakini untuk melunaskan gajinya sekitar £250,000 (RM1.35 juta) seminggu.

United berdepan dengan prospek terpaksa menanggung sebahagian gajinya – sekalipun selepas berpindah – di samping terpaksa mengorbankan sebarang yuran perpindahan.

Sebagai alternatif, United boleh menuntut sekali bayaran hangus untuk menampung sebarang kehilangan pendapatan.

Dalam pada itu, Rooney harus akur peluangnya amat tipis untuk mendapat kadar gaji yang sama di mana-mana kelab lain kecuali dalam Liga Super China.

Satu lagi kebimbangan buat United ialah bahaya kelab-kelab yang berminat menanti sehingga akhir musim panas ini sebelum memulakan langkah dalam usaha mengelak membayarnya gaji yang sama pada akhir musim.

Sekalipun jika dipersetujui gajinya dikurangkan kepada £100,000 (RM540,000) seminggu, ia harus dianggap tidak berbaloi buat seorang pemain yang semakin terbatas waktunya berada di atas padang.

Faktor kewangan bukanlah satu-satunya masalah Rooney dalam mencaturkan musim atau musim-musim terakhir buatnya.

Sebarang usaha mendapatkan sebuah kelab yang menepati cita-citanya adalah satu lagi kekangan sambil dia boleh mengetepikan sebarang peluang menyertai kelab dalam kelompok enam teratas dalam Liga Perdana Inggeris.

Jika Everton turut terkeluar daripada senarai pertimbangannya, maka pilihan yang ada buatnya bukan saja sangat terhad.

Malah, Rooney benar-benar sudah sampai ke penghujung jalan mati.

(BERSAMBUNG)



 

Advertisement

Must Watch Video