Skip to main content

Rencana

Rooney: Ke mana harus bawa diri? (bhg 1)

rooney-4-120617.jpg
Dia mungkin kapten, pemegang rekod penjaring terbanyak kelab dan pemenang 15 kali trofi utama tetapi Wayne Rooney tampil selaku pemain yang paling dimahukan penyokong Manchester United untuk dijual musim panas ini.

Pemain berusia 31 tahun itu telah bergelut sepanjang musim ini untuk mendapatkan waktu bermain di bawah pemerhatian Jose Mourinho dan kini menjadi buah mulut untuk mencari majikan lain musim depan.

Di sebalik digugurkan daripada skuad England baru-baru ini – pengurus England, Gareth Southgate, tidak pun menghubunginya untuk memaklumkan perkara itu – untuk saingan kelayakan Piala Dunia Kumpulan F, dia turut menduduki tangga teratas satu undian selaku pemain paling tidak popular di Old Trafford.

Akhbar Manchester Evening News menjalankan satu kaji selidik dalam kalangan penyokong terhadap siapa yang mereka jangkakan berada dalam senarai Mourinho untuk dijual.

Separuh daripada responden menamakan Rooney, dengan saingan terdekatnya, Matteo Darmian, mendapat 29 peratus undian. Marouane Fellaini, yang sudah kerap dicemuh penyokong, menyusul di tangga ketiga dengan 14 peratus.

Bekas kapten England itu akhir-akhir ini menjadi sebutan apabila dikaitkan dengan Liga Super China selepas Mourinho memaklumkan dia boleh pergi.

Namun, Rooney menepisnya dengan alasan keluarganya akan mendapati sukar untuk menyesuaikan diri di sebuah negara asing di samping dia sendiri menyematkan kepercayaan dia masih boleh menyumbang sesuatu dalam Liga Perdana Inggeris.

Dorongan utamanya ialah Rooney – walaupun tidak tersenarai untuk kelayakan Piala Dunia berdepan Lithuania, Mac lalu, dan terbaru menentang Scotland – masih menaruh harapan untuk melabuhkan tirai kerjaya panjangnya selepas kempen Piala Dunia di Russia tahun depan.

Lagipun, dia adalah penjaring terbanyak England sepanjang zaman dengan 53 gol dan telah membuat 119 penampilan antarabangsa sejak kemunculan sulungnya bersama The Three Lions pada 2003.

Southgate memilih untuk berdiplomasi: “Saya tidak faham mengapa ramai yang bercakap untuk mengucapkan salam perpisahan kepadanya ketika dia masih berpeluang untuk terus untuk menjadi sebahagian pasukan ini. Tiada alasan untuk menganggap ini adalah penamat buatnya.”

Namun, ia jelas sekali satu tawaran bersyarat.

Rooney tidak pun perlu diingatkan bahawa tiketnya untuk kembali ke dalam barisan England ialah dengan memainkan peranan penting bersama United – dengan kerap diturunkan dan bukan sekadar memanaskan bangku pemain simpanan.

“Jika dia dapat meraih semula tempatnya dalam kesebelasan utama United, maka ia akan menjadi laluannya kembali dalam pasukan England,” kata bekas rakan sepasukan, Paul Scholes.

Mourinho telah pun menegaskan Rooney masih mempunyai tempat bersama United musim depan – tambahan pula dengan ketiadaan Zlatan Ibrahimovic yang tidak lagi boleh diharapkan sentuhan penyudahnya setelah kontraknya tidak dilanjutkan.

Masalahnya ialah peranan Rooney harus lebih sebagai ‘pemain menunggu’ dari garis tepi padang dan ada kalanya mungkin tidak langsung tersenarai dalam skuad 18 pemain Red Devils – sesuatu yang dia sudah pun terbiasa sepanjang musim 2016/17.

Untuk rekod, Rooney menyumbat hanya lima gol untuk United sepanjang musim berkenaan – jumlah terendahnya sejak beralih ke Old Trafford pada 2004.

Apakah masih ada esok buatnya?

(BERSAMBUNG)

 

Advertisement

Must Watch Video