Skip to main content

Rencana

Rooney – apakah masih ada masa depan buatnya?

270317rooney.jpg

Apalah malang nasib Wayne Rooney – legenda Manchester United yang seakan-akan tiada sesiapa yang mahukan.

Di sebalik dia adalah kapten kelab, memiliki rekod jaringan dan pemenang 15 trofi utama, satu undian dalam kalangan penyokong kelab itu memilih pemain berusia 31 tahun itu sebagai pilihan tertinggi untuk dijual pada musim panas ini.

Terbaru, di sebalik Everton dikhabarkan masih menagih khidmatnya – cubaan mereka mendapatkan Rooney secara pinjaman ditolak Januari lalu – apa yang mengejutkan ialah West Ham sudah meluahkan hasrat untuk menandatangani pemain veteran itu.

Nyata sekali Rooney berhempas-pulas di bawah pengendalian Jose Mourinho musim ini dan dikaitkan dengan perpindahan – tanpa sebarang bayangan akan ke mana -- pada penghujung musim nanti.

Akhbar Manchester Evening News menjalankan satu tinjauan pendapat dalam kalangan penyokong United siapakah pemain yang harus mendahului senarai perpindahan keluar Mourinho dan 50 peratus undian menamakan Rooney, hampir sekali ganda mengatasi Matteo Darmian (29%) dan Marouane Fellaini (14%).

Dalam pada itu, akhbar Sunday Express dalam laporan eksklusifnya mendakwa West Ham secara senyap-senyap cuba memikat Rooney dengan tawaran gaji £150,000 seminggu – sama seperti yang dituntut penyerang England itu daripada kelab pujaannya ketika kanak-kanak, Everton.

Namun, ia kelihatan satu tawaran bersyarat, iaitu asalkan pengurusnya masih kekal Slaven Bilic kerana pengendali berbangsa Croatia itu dipercayai berbaki hanya tiga perlawanan sebelum menghadapi pemecatan.

Sejak berpindah dari Upton Park ke Stadium London – gelanggang utama Sukan Olimpik London 2012 – pasukan Timur London itu turut berdepan pelbagai masalahnya sendiri hingga ura-ura kedatangan Rooney mungkin sekadar angan-angan.

Hujung minggu lalu pula, pemain berjersi no. 10 itu diketepikan daripada skuad England dalam kelayakan Piala Dunia berdepan Lithuania di Wembley. Tanpanya sekalipun, kesebelasan Gareth Southgate masih memahat kemenangan selesa 2-0.

Rooney, bagaimanapun, masih belum bersedia untuk menyerah kalah.

Sasarannya ialah untuk mengakhiri kariernya selepas Piala Dunia di Russia tahun depan tapi untuk dia ke sana, Rooney hendaklah menagih sebanyak mungkin perlawanan bagi menambat hati Southgate semula tapi sebelum itu, dia harus lebih dahulu meraih kepercayaan Mourinho untuk memberinya lebih banyak waktu beraksi.

“Saya tidak faham mengapa orang bercakap untuk memberi penghormatan kepadanya,” kata Southgate. “Dia masih berpeluang untuk kekal dalam barisan England.

“Tiada sebab untuk beranggapan ia sudah berakhir buatnya,” tambahnya mengenai Rooney – penjaring terbanyak England dengan 53 gol dan sudah melakukan 119 penampilan bersama The Three Lions sejak kemunculan sulungnya pada 2003.

Bekas rakan sepasukan Red Devils, Paul Scholes, memilih untuk melontarkan kata-kata semangat.

Rooney, yang masih memiliki kontrak sehingga 2019, katanya, harus kekal bersama Manchester United dan bertarung untuk masa depannya di Old Trafford – dia hanya melakukan sembilan penampilan dalam kesebelasan permulaan dalam Liga Perdana musim ini.

“Terdapat banyak spekulasi ke mana dia harus pergi tapi Wayne, setelah segala apa yang dilakukannya, telah meraih hak untuk melakukan apa yang dia mahu buat.

“Saya harap dia akan kekal dan terus berjuang kerana dia masih punya sumbangan untuk United dan England,” hujah Scholes.

Masalahnya, Mourinho sudah menyatakan Rooney kini bebas untuk memilih haluannya sendiri.

Advertisement

Must Watch Video