Skip to main content

Rencana

Ronaldo didewakan Juve, Madrid perlu lupakan cinta lama

ronaldo.jpg
Pepatah klasik Melayu ada menyatakan, "Benih yang baik jika dicampak ke darat menjadi gunung, jika dicampak ke laut menjadi pulau".

Bidalan itu dapat dipersonifikasikan terhadap penghijrahan Cristiano Ronaldo ke pasukan Serie A, Juventus.

Ronaldo mengejutkan dunia bola sepak selepas membuat keputusan meninggalkan Real Madrid untuk menyertai pasukan gergasi Itali itu, awal musim ini.

Ramai menganggap Ronaldo melakukan keputusan yang salah sehinggakan ada yang mengaitkan ia dengan konspirasi Illuminati yang mahu menjatuhkan karier pemain itu; suatu dakwaan yang penuh hiperbola bagi menggambarkan kecanggungan menyaksikan pemain terbaik dunia itu beraksi dalam liga Itali.

Namun, Ronaldo membuktikan ketepatan keputusannya itu menerusi rentetan rekod-rekod yang dipecahkannya bersama pasukan berkenaan.

Rekod-rekod tersebut adalah:

1) 27 November 2018: Ronaldo menjadi pemain pertama dalam sejarah meraih 100 kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah ketika membantu Juve menewaskan Valencia 1-0 dan layak ke pusingan kedua kejohanan berkenaan. 

2) 1 Disember 2018: Ronaldo menjaringkan gol ketika membantu Juve menewaskan Fiorentina 3-0.
Jaringannya yang ke-10 dalam saingan Serie A selepas 14 perlawanan itu menjadikannya pemain kedua mencapai rekod tersebut selepas John Charles melakukannya pada 1957.

3) 16 Disember 2018: Ronaldo menjaringkan gol ke-5,000 Juventus dalam saingan Serie A ketika pasukan itu menewaskan Torino 1-0 dalam pertembungan "Derby della Mole".

Kejayaan Ronaldo itu turut mempromosikan bola sepak Itali ke satu aras yang lebih tinggi.

Jika sebelum ini media-media dunia lebih "berkiblatkan" liga Inggeris dan Sepanyol, kehadiran Ronaldo menyaksikan dada akhbar kini lebih rancak dengan liputan-liputan dari Itali.

Maka, tidak hairanlah pemain itu menjadi sanjungan pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan Juve.

"Cristiano Ronaldo perlu menjaringkan semua sepakan penalti buat Juventus untuk dimaafkan selepas memberikan igauan ngeri buat pasukan kami dalam Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

"Selepas dia melakukannya ke atas kami pada minit ke-93 dengan kelajuan 139km/j, bagaimana saya mahu memberikan tanggungjawab itu kepada pemain lain?" kata ketua jurulatih Juve, Massimiliano Allegri, selepas pemain itu membantu pasukannya menewaskan Fiorentina 3-0.

Anak emas baru La Vecchia Signora itu turut diberikan layanan istimewa apabila Allegri secara terbuka memperuntukkan waktu rehat khas buat Ronaldo selepas dia dilihat terlalu bekerja keras buat Juve.

"Ronaldo seorang pemain profesional yang hebat.

"Dia sentiasa mementingkan keperincian dalam setiap perkara.

"Itu yang membuatkannya sentiasa cergas.

"Namun, saya sudah membuat keputusan yang dia akan direhatkan dalam satu daripada perlawanan menentang AS Roma, Atalanta atau Sampdoria," kata Allegri yang menggambarkan Ronaldo sebagai "profesional teragung" selepas jaringan tunggal pemain itu membantu Juve menewaskan Torino.

Di sebalik kegemilangan Ronaldo di Itali, bekas pasukannya, Real Madrid, masih dalam fasa penolakan terhadap pemergian pemain itu.

Pergelutan mereka sejak awal musim ini jelas membuktikan kerinduan mereka terhadap pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu.

"Dia bukan sahaja rakan sepasukan tetapi sahabat kepada saya, Sergio Ramos dan Luka Modric.

"Ia jelas, kami merindui pemain terbaik dunia itu.

"Namun, kami masih mempunyai barisan pemain terbaik di setiap posisi.

"Setiap pasukan pasti mendambakan khidmat Cristiano.

"Madrid tetap akan menjadi Madrid walapun pemain silih berganti," kata Marcelo kepada Club del Deportista.

Mungkin benar apa yang dikatakan Marcelo itu, setiap pasukan pasti mendambakan kelibat Ronaldo.

Maka, rugi besarlah Madrid yang melepaskan pemain itu kepada Juve.

"Tiada gunanya bercakap tentang seseorang yang tidak ada di sini.

"Kami tidak boleh menangisi seseorang yang tidak mahu berada di sini," kata Isco.

Kesimpulannya, Ronaldo akan tetap menjadi benih yang baik walau di mana sekalipun dia berada

Dia mampu untuk menjadi gunung mahupun pulau di Itali.

Buat Madrid pula, mereka perlu melupakan cinta lama itu dan terus bergerak ke hadapan tanpa Ronaldo.

Advertisement

Must Watch Video