Skip to main content

Rencana

Rock Kapak masih relevan

football-asian-games.jpg
Sejak era awal 80-an, sejarah muzik Rock di Malaysia mula menular di seluruh negara, menyaksikan kebangkitan anak-anak muda yang diketuai oleh barisan kumpulan seperti Wings, Search, Lefthanded dan banyak lagi.

Bagaimanapun, kemasyhuran muzik yang digelar 'Rock Kapak' itu menjadi kebanggaan anak muda dalam era tersebut dan mencuri perhatian apabila Search mengungguli Anugerah Juara Lagu pada tahun 1989 menerusi lagu Isabella, satu karya seni hasil kerjasama Suhaimi bin Abdul Rahman, Yazid Ahmad, Hamzah Mohd Taib, Noordin Taib & Nasir Daud yang dihaluskan dengan nukilan lirik daripada Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali dengan nama Bob Lokman.

Malangnya, bermulanya era 90-an menyaksikan kemunduran muzik Rock setelah datangnya sinar kewujudan buat genre seperti Hip-Hop, Balada serta konsep 'Boyband', sebelum K-Pop dari Korea Selatan menjadi kegemaran ramai di Malaysia sejak sekitar tahun 2005 sehingga kini.

Itu kisah alunan muzik dalam Malaysia. Tampak tidak sama tetapi tetap memiliki sedikit persamaan dengan perjalanan bola sepak dalam negara.

Jika Malaysia muncul selaku antara pasukan digeruni di rantau Asia Tenggara, mungkin tidak salah jika meletakkan selaku skuad utama di pentas Asia ketika era 70-an, skuad bola sepak kebangsaan mengalami kemunduran sejak zaman 90-an.

Selain dipalit gejala mengatur perlawanan, kemunduran skuad negara diselitkan dengan kegagalan demi kegagalan di peringkat antarabangsa, sehinggalah badi itu akhirnya ditamatkan susulan sinar baru yang diilhamkan Datuk K. Rajagobal apabila mengemudi Harimau Malaya menjuarai Piala AFF pada tahun 2010.

Kejayaan itu diteruskan Datuk Ong Kim Swee yang meneruskan kesinambungan Rajagobal pada 2009, apabila mengekalkan kilauan pingat emas dalam Sukan SEA 2011, sebelum pengendali dari Melaka itu membawa Malaysia menduduki tempat kedua dalam edisi 2017 serta mara ke suku akhir Kejohanan Piala AFC B-23 di China, Januari lalu.

Terbaru, anak-anak buah Kim Swee melakar satu lagi kejutan apabila menewaskan gergasi Asia yang juga memegang status juara bertahan dalam Sukan Asia, Korea Selatan, 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan, sekaligus menamatkan penantian selama 44 tahun, selepas kali terakhir menundukkan lawan sama di pentas itu ketika edisi 1974 di Tehran.

Walaupun Korea Selatan diperkuatkan dengan pemain terbaik Asia 2017, Son Heung-Min, serta penjaga gol skuad Piala Dunia, Jo Hyeon-Woo, ternyata ia tidak menjadi kekangan untuk Adam Norazlin dan rakan sepasukan mencipta kejutan ke atas anak didik Kim Hak-Bum.

Sewaktu aksi di Tehran 44 tahun lalu, Malaysia menamatkan saingan dengan pulangan pingat gangsa dan walaupun di atas kertas, masih banyak pasukan gergasi lain yang perlu dihadapi, segalanya tidak mustahil seandainya aksi di Stadium Si Jalak Harupat semalam mampu diterjemahkan dalam setiap perlawanan.

Mungkin terlalu awal untuk menghamburkan pujian melangit tetapi tidak salah untuk meniupkan semangat buat Malaysia tatkala slot di pusingan 16 terakhir sudah terjamin buat anak-anak buah Kim Swee.

Ya, Rock Kapak masih relevan buat Malaysia walaupun K-Pop sentiasa menjadi sebutan ramai bukan hanya di negara kita, bahkan seluruh dunia.

Advertisement

Must Watch Video