Skip to main content

Rencana

RM1,200 sebulan, Nauraj ke Olimpik Rio

nauraj-rangkul-pingat-emas-di-australia.jpg

Bergema sorakan Malaysia Boleh di Stadium Nasional Singapura meraikan kejayaan jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Dia melepasi ketinggian 2.29m di Terbuka Singapura yang juga rekod baru kebangsaan!

Apa yang menarik, saya sempat membuat laporan mengenai kekecewaan Nauraj apabila jurulatihnya, Alim Ahmejanov yang kembali ke Uzbekistan dan meninggalkannya buat persiapan sendirian.

Ia perpisahan yang menyedihkan selepas lapan tahun dia berguru dengan Ahmejanov.

"Bayangkan, selepas saya pulang daripada kem latihan dan kejohanan di Australia, jurulatih sudah tiada. Kami sudah banyak merancang untuk melepasi 2.29m tapi akhirnya dia meninggalkan saya.

"Saya kecewa tapi hidup perlu diteruskan. Saya terpaksa cari jurulatih baru dan menemuinya ketika berada di Australia," kata Nauraj.

Bekas atlit lompat tinggi Australia, Alex Stewart setuju membantu Nauraj - namun beliau belum sedia datang ke Malaysia.

Mereka berinteraksi melalui email.

"Saya akan minta rakan merakam lompatan dan menghantar kepada Stewart. Beliau akan menilai dan komen apa yang silap. Saya akan betulkan sendiri dan itulah cara saya berlatih dengannya.

"Tapi, ini bukan percuma. Saya bayar RM1,200 sebulan dengan wang sendiri kerana MSN (Majlis Sukan Negara) sudah lantik jurulatih baru. 

"Masalahnya saya sudah hampir di puncak prestasi dan jika berguru dengan jurulatih baru itu, saya akan kembali ke teknik asas. Saya akan buktikan, saya akan layak ke Rio tanpa jurulatih di sisi," kata jaguh berusia 24 tahun itu.

Saya gembira dengan perkembangan Nauraj.

Saya mula mengikuti perkembangannya ketika dalam program pelapis kebangsaan pada usia 17 tahun. 

Dia memiliki aura juara. Tahniah atlit ke-13 negara layak ke Rio.

Tahniah Nauraj...Singh is King!

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video