Skip to main content

Rencana

Revolusi Belgium daripada pasukan bawahan ke No. 1 dunia

belgium-hockey.jpg
Kejayaan Belgium menjulang trofi Piala Dunia 2018 membuktikan program jangka masa panjang mereka bermula lapan tahun lalu menuaikan hasil yang cukup cemerlang.

Pasukan Red Lions itu dahulunya cuma dianggap pasukan kedua bawahan Eropah sebelum perlahan-lahan mengukir nama sebagai pencabar utama dan kini sudah bergelar juara dunia buat kali pertama sejak 47 tahun lalu.

Persatuan Hoki Diraja Belgium (ARBH) tidak lokek berbelanja besar bagi peringkat akar umbi dan memodenkan penstrukturan hoki negara itu pada awal tahun 2000 hingga membolehkan mereka memenangi tempat ketiga pada Kejohanann Eropah 2007.

Pelantikan Presiden ARBH, Mac Coudron, pada 2005 mengubah landskap hoki negara itu dengan peningkatan yang cukup pesat di pentas antarabangsa selain penubuhan liga domestik yang menjadi tumpuan ramai pemain dunia.

Mengenali karakter Coudron semasa era saya sebagai pemain, bekas kapten ‘marvel’ Belgium itu memiliki karisma tersendiri dan mempunyai ciri-ciri serta kualiti kepimpinan tinggi.

Turut bertanggungjawab merevolusikan hoki Belgium ialah pengarah teknikal pasukan itu dari Belanda, Bert Wentink, serta jurulatih-jurulatih seperti Adam Commens (Australia), Colin Batch (Australia), Jeroen Delmee (Belanda) dan terbaharu, Shane McLeod (New Zealand) dengan barisan kejurulatihan dibawa mereka.

Revolusi Belgium bermula dengan kebanyakan pemain-pemain bawah 21 tahun diserap beraksi bersama skuad senior.

Ia dapat dilihat peningkatan prestasi Belgium yang kembali layak ke Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China, dengan penampilan terakhir pada Sukan Olimpik 1976 di Montreal, Kanada, menyaksikan mereka menduduki tempat keempat, kemudiannya tempat kelima dalam Sukan Olimpik 2012 di London sebelum memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Peningkatan sama juga berlaku di pentas Piala Dunia menyaksikan Belgium menduduki tempat kelima Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda dan kini menjuarai Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, sekali gus merampas ranking pertama dunia daripada Australia.

Saya tertarik melihat kejayaan Belgium dalam Piala Dunia 2018 kerana mereka cuma mempunyai empat pemain gantian di bangku simpanan tanpa mengira seorang lagi penjaga gol selepas kehilangan dua pemain termasuk kapten, John-John Dohmen dan Emmanuel Stockbroekx terpaksa dihantar pulang kerana masalah kecederaan.

Lebih tragis, seorang pemain Belgium, Simon Gougnard, terpaksa mengharungi aksi separuh akhir bertemu England dalam keadaan emosi yang tidak stabil kerana kematian ayahnya awal pagi sebelum perlawanan tersebut.

Saya juga tertarik untuk menyaksikan lebih ramai pemain muda negara diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan selepas berakhirnya kempen Sukan Olimpik kerana mereka ini mudah dibentuk untuk menerima idea, konsep serta falsafah hoki terkini daripada jurulatih seperti Roelant Oltmans.

Objektifnya ialah Piala Dunia 2022 dan Sukan Olimpik 2024.

Advertisement

Must Watch Video