RENCANA
Rehatlah Safawi....
Pengendali skuad Bawah 23 Tahun negara, Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan mengejutkan apabila menggugurkan nama Safawi Rasid daripada barisan yang akan membawa cabaran negara di Sukan SEA Filipina bulan ini.
Terdapat beberapa media arus perdana yang turut melontarkan persoalan, apakah Safawi benar-benar keletihan?
Namun, bagi penulis ia adalah keputusan tepat untuk merehatkan Safawi ke Sukan SEA kali ini.
Iklan
Berbeza dengan beberapa pemain B23 lain yang turut membarisi skuad senior, Safawi beraksi hampir setiap perlawanan buat Harimau Malaya sama ada aksi persahabatan atau pun Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Keutamaan jelas perlu diberi buat skuad senior yang kini menduduki tangga kedua Kumpulan G dan berada di posisi cukup baik untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia-pertama kali dalam sejarah jika kita berjaya lakukannya.
Jika kita lihat di Eropah, bintang seperti Cristiano Ronaldo tidak lagi membarisi skuad B12 Portugal sebaik dia mengesahkan tempat dalam barisan senior.
Atas dasar itu, penulis memuji tindakan Kim Swee menggugurkan Safawi.
Selain aksi dengan skuad senior negara, kita perlu ingat bahawa Safawi juga terbabit dengan saingan Liga M serta Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.
Sudah pasti skuad senior kendalian Tan Cheng Hoe mengharapkan Safawi berada dalam tahap terbaik serta “segar” apabila berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi getir kelayakan Kumpulan G, 26 Mac depan.
Ketika ini, tidak salah jika penulis melabel Safawi sebagai permata bola sepak negara dan sudah pasti kita tidak mahu pemain itu 'burnout' sebelum aksi dengan UAE.
Penulis juga percaya meskipun tanpa Safawi, barisan B23 kendalian Kim Swee mampu memberi cabaran kuat di Filipina kelak.
Barisan muda negara dijangka tidak berdepan masalah melepasi halangan Myanmar, Filipina, Kemboja dan Timor Leste dalam Kumpulan B sebelum berdepan antara Thailand, Vietnam atau Indonesia di separuh akhir.
Tanpa Safawi, skuad B23 masih mempunyai beberapa tonggak lain seperti Nik Akif Syahiran, Daniel Amir Norhisham, Syamer Kutty Abba serta bintang skuad B19, Luqman Hakim Shamsuddin dan Mukhairi Ajmal.
Ramalan penulis, skuad B23 akan ke final dan membuat perhitungan pingat emas dengan Vietnam.
Kepada B23, selamat berjuang di Filipina dan buat Safawi, berehatlah dan kembali lebih bertenaga untuk misi ke Piala Dunia/Piala Asia.
Must-Watch Video