Skip to main content

Rencana

Ratu

farah-ann-sea-games-malaysia.jpg
Tanpa prejudis dan bias, Farah Ann Abdul Hadi adalah Ratu Gimnastik Artistik Asia Tenggara selepas aksi memukaunya di Rizal Memorial Coliseum membutirkan tiga pingat emas Sukan SEA 2019.

Sejak merekodkan penampilan pertama temasya ini menerusi penyertaan di Indonesia 2011 pada usia 17 tahun, Farah berputik menjadi seorang gimnas yang tiada tolok bandingannya.

Filipina 2019 menyaksikan Farah coret dua pencapaian bersifat hatrik bermula dengan pungutan pingat emas Individu-All Around, Batang Titian dan Senaman Lantai.

Hatrik kedua ini tertumpu kepada senaman lantai, disiplin yang didominasi kilauan emas Farah sejak Singapura 2015 dan diteruskan di Kuala Lumpur 2017 sehinggalah Filipina 2019 ini.

Apa yang membangkitkan rasa kagum saya adalah perwatakan Farah di luar gelanggang selepas usainya saingan gimnastik artistik di Manila ini.

Farah dengan kalungan tiga pingat emas menjadi buruan warga Manila tidak mengira latar belakang dan usia yang memenuhi Rizal Memorial Coliseum untuk mendapatkan secebis memori bersamanya.

Tidak pernah sekalipun Farah mengatakan tidak atau bermasam muka dalam melayani permintaan mereka untuk menurunkan tandatangan atau berfoto bersama.

Tetapi sebagai seorang bapa, saya dilimpahi emosi melihat bagaimana dia bangga dapat berkongsi kejayaan ini bersama ibu, Kimberly Ann Gagnon dan ayahnya Abdul Hadi Ahmad.

Seseorang yang memiliki sifat persis ratu tidak semestinya lahir daripada keturunan yang memiliki darah diraja seperti yang dibuktikan Farah.

Bukan sahaja dia hebat dalam profesion tetapi memiliki perwatakan dan sifat kemanusiaan luar biasa.

Farah anda adalah Ratu itu.  
 

Advertisement

Must Watch Video