Mencari kebangkitan serta mengukuhkan lagi kedudukan merupakan antara elemen dalam aksi kedua Piala Dunia kali ini. Terdapat pasukan yang berjaya mengekalkan momentum untuk terus melakar kemenangan dan ada pula yang lemas dalam percaturan sendiri.
Kumpulan A
Russia 3 Mesir 1
Selepas mencipta kemenangan dalam aksi sulung, tuan rumah, Russia, meneruskan kecemerlangan mereka dengan mengatasi Mesir dalam aksi kedua, sekali gus memastikan slot ke pusingan kalah mati pertama menjadi milik mereka. Kemenangan berturut-turut ini juga adalah kali pertama berjaya dilakukan sejak 1966 dan menyaksikan mereka layak ke separuh akhir.
Kehadiran Mohamed Salah buat Mesir tidak mampu menangani asakan Russia untuk meraih keputusan positif, lantas tersingkir daripada Piala Dunia.
Arab Saudi 0 Uruguay 1
Selepas mengecewakan Mesir dalam aksi pertama dengan jaringan tunggal pertahanan, Jose Gimenez, pada penghujung permainan, Luis Suarez bertindak selaku wira pasukan apabila meledak gol pada minit ke-23 bagi memastikan kemenangan ke atas Arab Saudi dan layak ke pusingan seterusnya.
Arab Saudi kini telah tersingkir daripada Piala Dunia buat kali keempat dalam lima penampilan -- kali terakhir mereka ke pusingan kalah mati adalah pada penampilan pertama di Amerika Syarikat (1994).
Kumpulan B
Portugal 1 Maghribi 0
Susulan keputusan 3-3 Portugal dan Sepanyol, Cristiano Ronaldo memastikan kemenangan Portugal menerusi jaringan tunggal untuk menjadi penjaring terbanyak Eropah dalam aksi antarabangsa (85 gol) mengatasi Ferenc Puskas.
Sejak 2002, Portugal tidak pernah tewas kepada pasukan bukan Eropah dalam saingan Piala Dunia -- kali terakhir kepada Korea Selatan (1-0).
Iran 0 Sepanyol 1
Jaringan Diego Costa memastikan kemenangan 1-0 buat La Roja yang memasang misi untuk menebus kekecewaan edisi lalu apabila tersingkir dalam peringkat kumpulan.
Selepas 20 perlawanan Piala Dunia, tiada sebarang perlawanan berakhir dengan keputusan 0-0 dan kali terakhir ini berlaku adalah pada 1958 (England seri dengan Brazil).
Kumpulan C
Perancis 1 Peru 0
Skuad kendalian Didier Deschamps ini mara ke pusingan kalah mati apabila merakamkan kemenangan kedua dalam peringkat kumpulan ke atas Peru. Kemenangan ini menyaksikan Les Bleus tidak pernah tewas kepada lawan dari negara Amerika Selatan.
Penghuni tangga ke-11 dunia, Peru, gagal mencipta sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan Piala Dunia, sekali gus tersingkir daripada saingan di Russia.
Denmark 1 Australia 1
Mile Jedinak sekali lagi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti bagi menafikan jaringan pembukaan Christian Eriksen untuk meraih mata pertama buat Australia dalam saingan Piala Dunia kali ini.
Keputusan seri ini menjadikan kali kelima buat Australia gagal memenangi perlawanan dalam Piala Dunia -- mungkin sudah tiba masa Socceroos menurunkan penyerang berpengalaman, Tim Cahill, untuk mencari kemenangan.
Kumpulan D
Argentina 0 Croatia 3
Selepas dikritik kerana seri dengan Iceland 1-1, pengendali Argentina, Jorge Sampaoli, merombak skuad untuk perlawanan kedua dan percaturannya itu bagaikan membunuh kariernya sendiri apabila gagal untuk bersaing dengan Croatia. Sebelum perlawanan bermula, riak muka Lionel Messi seakan-akan sudah mengetahui apa yang bakal berlaku dan persaraan daripada bola sepak antarabangsa buat kali kedua menghampirinya sekali lagi.
Aksi lima bintang yang dipamerkan Croatia memastikan kali pertama mereka menewaskan pasukan daripada Amerika Selatan dalam saingan Piala Dunia dan menjadi kekalahan terburuk Argentina sejak 1958 (tewas 6-1 kepada Czechoslovakia)
Nigeria 2 Iceland 0
Iceland terpaksa menerima kekalahan pertama mereka selepas membuat penampilan dalam kejohanan utama (Euro dan Piala Dunia). Menampilkan aksi yang lebih terbuka ternyata menghukum mereka dengan taktikal serangan balas yang ditampilkan oleh Nigeria untuk merakamkan kemenangan dalam perlawanan ini.
Dalam setiap kemenangan Nigeria dalam Piala Dunia (enam kemenangan), kesemuanya menewaskan lawan dari Eropah dan mereka banyak memastikan gawang tidak dibolosi.
Ammar Hakim
Tue Jun 26 2018