Skip to main content

Rencana

Rahsia kecewakan Liverpool terdedah

chink-cover.jpg
5-3-2 bukan sekadar satu set nombor tanpa banyak makna tapi ia mungkin formula untuk menggagalkan Liverpool daripada landasan untuk menamatkan penantian 30 tahun bergelar juara liga.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, harus bersandiwara bahawa dia enggan menonton pertemuan Manchester United-Liverpool semalam tapi pengurus pasukan lain harus sibuk membuat catatan nota.

Formasi itulah yang diguna pakai Ole Gunnar Solskjaer untuk merimaskan lawan hingga perlawanan yang hebat diperbualkan itu berkesudahan seri 1-1 untuk Liverpool keciciran dua mata pertama musim ini.

Bekas pengurus United, Jose Mourinho, yang berganding dengan Roy Keane selaku pengkritik Sky Sports dalam perlawanan itu, berkongsi pengamatannya bahawa kelemahan Liverpool ketika berdepan lawan yang gemar bertahan, ditelanjangi United yang mengaplikasikan formasi berkenaan.



“Liverpool mempunyai kelemahan ketara berdepan pasukan yang berpadu tenaga untuk bertahan seperti yang didedahkan oleh Manchester United,” katanya seperti dipetik oleh Metro UK.

Menyusuli analisis pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, bahawa pasukannya mendapati sukar kerana United hanya berminat untuk bertahan, Mourinho menambah kegagalan Liverpool menembusinya menyerlahkan satu kelemahan besar mereka.

 “Kualiti Liverpool sebagai sebuah pasukan untuk berdepan sebuah pasukan yang padu bertahan, ketara sekali adalah satu masalah buat mereka,” katanya dalam ulasan Sky Sports.

“Mereka memiliki rekod kemenangan menakjubkan tapi bergelut ketika menentang pasukan dengan ‘low block’ (bertahan jauh ke bawah).”

Prestasi merudum Liverpool dalam perlawanan itu bukan hanya ditimbulkan oleh Mourinho, malah legenda Liverpool sendiri, Graeme Souness.



Dia bersependapat bahawa The Reds boleh menjadi kurang kreatif untuk memecah masuk pertahanan lawan jika lawan bermain dengan corak yang banyak mengecewakan skuad kendalian Klopp itu.

Di sebalik trio serangan Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah (yang tidak diturunkan malam tadi kerana cedera), gandingan Fabinho, Jordan Henderson dan Georginio Wijnaldum di barisan tengah pula tidak terlalu menggusarkan lawan.

“Liverpool sengsara kerana mereka memiliki bahagian tengah yang mampu menggelami sesiapa saja tapi malam ini (tadi), mereka yang ditenggelami,” kata Souness dalam ulasannya melalui Sky Sports.

“Ketika mereka memasuki sepertiga terakhir kawasan lawan, mereka tenggelam punca.”

Liverpool kekal di tangga teratas liga, enam mata mengatasi Manchester City, yang kembali ke landasan kemenangan setelah menundukkan Crystal Palace 2-0 di tempat lawan Sabtu lalu.

Tapi, ia mungkin hanya permulaan bagi masalah lebih besar buat Liverpool selepas ini.

Selepas berdepan sembilan pasukan lawan dan memenangi lapan daripadanya, ada 10 lagi pasukan yang menanti untuk melakukan uji kaji terhadap The Reds dengan corak bertahan sambil mengambil pengajaran daripada apa yang dilakukan United.



Klopp semestinya akan turut ghairah untuk membuktikan bahawa analisis Mourinho, yang disokong Souness itu, tidak semestinya tepat sepanjang masa.

Jangan berhenti percayakan Liverpool yang sesekali mengharungi hari terburuknya, akan mampu menawarkan banyak lagi pada hari-hari terbaiknya.

Advertisement

Must Watch Video