Skip to main content

Rencana

Ragbi perlukan stadium sendiri

ragbi-malaysia_5.jpg
Kejayaan skuad ragbi tujuh sepasukan mengutip pingat emas dalam Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur setelah menewaskan Singapura 22-7 semalam, membawa impak yang sungguh besar dalam sukan ragbi di Malaysia. 

Dengan kemenangan itu, ia akan memberi ruang kepada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) untuk terus mempromosikan sukan ragbi di peringkat akar umbi agar ia akan terus diminati oleh anak-anak Malaysia.

Bukan jalan yang mudah untuk mencapai kejayaan ini, sebaliknya banyak rintangan yang dihadapi baik daripada segi peruntukan dan fasiliti. Tetapi itu bukan menjadi halangan kepada KRM di bawah pimpinan Datuk Shahrul Zaman Yahya untuk merealisasikanya. 

Semenjak berjaya mengutip pingat perak dalam Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, ia memberi semangat baharu kepada KRM untuk terus mengangkat martabat sukan ragbi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dengan semangat pemimpin-pemimpin kesatuan serta komitmen yang diberikan itulah yang membuat pemain-pemain ragbi, baik lelaki dan wanita tujuh sepasukan ini, bersemangat dan terus fokus kepada sasaran. 

Walaupun menghadapi banyak rintangan di peringkat saringan, terutama kepada pasukan tujuh sepasukan lelaki, namun mereka tidak hirau akan rintangan itu, sebaliknya fokus kepada setiap perlawanan. 

Pujian harus diberikan kepada ketua pasukan ragbi lelaki negara, Zulkeflee Azmi, kerana sentiasa memberikan kata-kata semangat dan menjadi contoh kepada rakan-rakan sepasukan untuk terus memberikan aksi yang konsisten dan terbaik. 

Ini penulis dapat lihat sendiri kerana penulis mengikuti acara ragbi ini dengan begitu rapat sekali selama dua hari. Bukan itu sahaja, keharmonian dalam pasukan dan semangat juang perwira memang begitu sebati dengan pemain-pemain ragbi ini.

Ada satu ketika dalam pusingan awal, penulis rasa tertekan dan ingin tahu apa kedudukan terkini dalam pusingan awal apabila kekalahan mengejut skuad lelaki tewas kepada pasukan jiran, Thailand. 

Ketika inilah bagaimana penulis dapat lihat mereka berjaya mengawal emosi dan menyerap tekanan untuk memastikan pasukan negara layak ke final dengan memburu jaringan yang besar ke atas Indonesia untuk meninggalkan Thailand.

Karakter pemain ragbi negara sungguh berbeza dalam perlawanan akhir ketika bertemu Singapura, mereka bagaikan harimau yang kelaparan sehingga memaksa mangsa mengalah tanpa melawan. Inilah semangat yang diinginkan, akhirnya mereka berjaya menggondol pingat emas dalam temasya kali ini. Dengan kejayaan ini, penulis berharap agar kerajaan membuka mata untuk membina sebuah stadium dan menyediakan fasiliti-fasiliti untuk sukan ragbi ini agar suatu hari nanti, negara boleh melahirkan pemain-pemain bertaraf dunia. 

Tahniah penulis ucapkan kepada KRM, jurulatih serta pemain-pemain lelaki dan wanita yang berjaya mengharumkan nama Malaysia.
 

Advertisement

Must Watch Video