Skip to main content

Rencana

Qabil sedia kibar panji-panji negara

qabil-ambak-2-130617.jpg
Sesungguhnya 2017 tertulis buat Qabil Ambak Mahamad Fathil kembali menunggang kuda sambil mengibarkan panji-panji negara.

Diulit nostalgia, digabungkan dengan faktor pertandingan acara dressage dan showjumping diadakan di Pusat Ekuestrian 3Q di Rawang yang juga milik keluarganya serta prospek menyumbang pingat emas lagi untuk kontinjen negara, kenapa tidak?

Kali terakhir Sukan SEA diadakan di Kuala Lumpur 16 tahun yang lalu, Qabil tampil cemerlang. Juri memilih Qabil sebagai Olahragawan Terbaik Sukan SEA 2001 di atas kejayaan merangkul empat emas – dua menerusi dressage individu dan showjumping individu, dua lagi dressage berpasukan dan showjumping berpasukan.

“Gelanggang Sukan SEA 2001 di Selangor Turf Club,” kata Qabil, mengimbas kejayaan lalu.

Tentu sekali 3Q menawarkan kelebihan, bukan?

“Tidak semestinya. Dalam ekuestrian, banyak faktor yang harus diambil kira. Selain kuda, seorang penunggang memerlukan sistem sokongan yang baik, khususnya jurulatih, doktor haiwan, perawat kuda (groom) dan juruladam (farrier).

“Dalam team saya ada dua jurulatih, seorang doktor haiwan, seorang perawat dan seorang juruladam,” katanya dihubungi menerusi aplikasi whatsapp.

Pada Sukan SEA ke-29 nanti, dressage dijadual diadakan pada 22-24 Ogos manakala showjumping 26-28 Ogos.

Qabil dijangka kembali ke Kuala Lumpur dengan membawa kuda dressagenya yang disewa daripada Agnete Kirk Thinggard, penunggang Olimpik untuk Denmark di Rio de Janeiro 2016.

Diberi nama Walkuere, kuda berusia 12 tahun itu mencatat rekod dunia dalam dressage apabila mengumpul 76.500 mata dalam Kejohanan Menunggang Kuda Remaja Eropah 2015.

Qabil menunggang kuda baka Belanda, Wup, ketika mengutip gangsa dressage individu dalam Sukan Asia Guangzhou 2010, kali terakhir penunggang berusia 37 tahun itu mewakili negara.

“Prospek memenangi pingat di depan penyokong sendiri adalah satu tarikan besar untuk keluar daripada persaraan,” kata Qabil.

Untuk latihan showjumping, Qabil berpangkalan di Hamburg, Jerman.

“Seminggu saya di Hamburg, seminggu kemudian di Billund, Denmark. Saya memandu empat jam untuk tiba ke destinasi,” katanya.

Dressage adalah siri ujian balet berkuda yang disusun agar bertambah sukar secara beransur-ansur, bermula dengan berjalan, lenggok kendur, membelok dan seterusnya sambil diiringi muzik.

“Dulu saya menunggang Wup, tapi kuda itu sudah mati,” katanya yang menunggang Charming 8 dalam Sukan Asia Doha 2006.

Bagi showjumping yang menuntut kuda tunggangan melangkau beberapa siri halangan berpagar seberapa pantas, Qabil bakal menunggang sama ada Qalisya atau Qadira. 

Dalam Sukan SEA 2001, Qabil menunggang Camelias sebelum menaiki Parvina dalam Sukan Asia Doha 2006. Di Korat 2007, Qabil menunggang Parvina untuk showjumping dan Dexter dalam dressage.

Petanda bahawa Qabil sedia mengulangi kejayaan 2001 tergambar apabila mencatat keputusan memberangsangkan sepanjang tahun ini.

Selain menduduki tangga kedua dan ketiga dalam pertandingan di Billund, Denmark, baru-baru ini, Qabil mendapat tempat ketiga di Hjorring, tewas kepada Matte Jansen Sejbjerg dan Charlotte Friberg dalam dressage, Mei lalu. 

Terdahulu, Qabil muncul pemenang menewaskan Jan Sogaard dalam kategori MB1 dengan mencatat 69.730 mata di Hjorring.

Kredit gambar: Qabil Ambak Mahamad Fathil

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video