RENCANA
Presiden cuti sakit, BAM dalam kawalan luncur
Memangku tugas itu sementara Tengku Mahaleel bercuti ialah Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, BAM adalah contoh terbaik sebuah badan induk kebangsaan yang diterajui oleh tokoh politik dan kapten korporat dalam proses mentransformasikan badminton negara.
Sambil menganggotai Jemaah Menteri, Allahyarham Tan Sri Khir Johari menerajui BAM selama 25 tahun, disusuli Tan Sri Elyas Omar selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur yang menjadi presiden persatuan itu dari 1985 hingga 1993.
Seorang Timbalan Menteri, Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan, menyusul selepas Elyas sehinggalah seorang tokoh korporat, Datuk Nadzmi Salleh, memperkenalkan kaedah kaizennya dari 2000 hingga 2013.
Iklan
Dengan reputasi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Edaran Otomobil Nasional dan seterusnya Proton Holdings, Nadzmi tampil membawa kaedah penambahbaikan berterusan, teras di sebalik konsep kaizen.
Nilai yang membawa kejayaan kepada orang Jepun ini cuba diterapkan ke dalam urus tadbir dan pengurusan BAM.
Jika Khir dikenang sebagai presiden yang membawa pulang Piala Thomas dari Jakarta pada 1967 dan Elyas menamatkan penantian bagi menaiki podium seterusnya pada 1992 sambil menghasilkan pingat pertama di Sukan Olimpik, Nadzmi membawa perubahan tersendiri selama 13 tahun menerajui BAM.
Dalam tempoh itu, dunia bukan saja menyaksikan lahirnya Datuk Lee Chong Wei sebagai ikon, bahkan satu era yang menghasilkan dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga pingat perak Kejohanan Dunia BWF.
Namun tamatnya era Nadzmi yang turut diwarnai pelbagai kontroversi, disusuli pemilihan Tengku Mahaleel pada Julai 2013 yang diibaratkan sebagai peniup nafas baharu.
Seorang lagi dari bidang permotoran menerjunkan diri ke dalam badminton, dengan reputasi sebagai bekas pemain di peringkat negeri.
Tengku Mahaleel tidak membuang masa. Beliau cuba menerapkan struktur pengurusan baharu dalam mengurus pasukan kebangsaan dengan melantik bekas pemain kebangsaan, Tan Aik Mong, selaku pengarah pengurusan bakat.
Aik Mong, malangnya, hanya bertahan dua minggu.
Tengku Mahaleel mendapati dunia persatuan sukan tidak seperti sebuah syarikat yang ada budaya kebertanggungjawaban dan mengutamakan prestasi.
Mengurus persatuan kebangsaan tidak semudah “hire and fire” dalam dunia korporat kerana pemegang jawatan dipilih menerusi satu proses demokratik.
Sebagai bekas pelumba rali yang sudah betah dengan keadaan memandu dalam situasi lasak dan “bumpy”, Tengku Mahaleel terpaksa berdepan cabaran sama dalam memimpin BAM.
Dalam tempoh dua tahun, kerusi panas Tengku Mahaleel menawarkan pengalaman bercampur baur – kemaraan Chong Wei ke final Kejohanan Dunia, kes doping jaguh itu selain pelantikan Morten Frost selaku Pengarah Teknikal dan kenaikan elaun bulanan pemain dan jurulatih.
Dari sekarang hingga Rio de Janeiro nanti, kita doakan agar Tengku Mahaleel sembuh daripada penyakitnya. Al-Amin pula hanya perlu menekan mod sistem pengawal luncur atau cruise control. Sama ada ia menuju destinasi atau tidak, sama-sama kita tunggu.
Must-Watch Video