Skip to main content

Rencana

Polemik Sukan SEA: Antara kualiti & kuantiti

filipina.jpg
Sukan SEA ke-30 di Filipina sudah memasuki hari ketiga dengan tuan rumah (setakat artikel ini ditulis) sudah menghimpun sejumlah 47 emas dan tampak akan muncul juara keseluruhan apabila temasya ini berakhir 11 Disember nanti, sekali gus meneruskan tradisi di mana negara tuan rumah akan muncul juara setiap kali menjadi penganjur. Begitu juga dengan Malaysia pada 2017.

Temasya kali ini menyaksikan rekod sejumlah 56 sukan dipertandingkan membabitkan 529 acara. Bebarapa sukan baru diperkenalkan antaranya kurash, hoki dalam air serta beberapa sukan ditambah acaranya seperti arnis dengan sejumlah 20 acara dan sukan tarian (14 acara). Kesemua ini, pada pandangan saya untuk memberi peluang kepada tuan rumah meraih sebanyak pingat yang boleh dan mencapai matlamat muncul juara keseluruhan.

Begitu banyak acara ‘artificial' atau ‘rekaan’ serta sukan yang tradisional, berterusan membangkitkan persoalan sama ada Sukan SEA terus releven dalam perkembangan sukan antarabangsa ketika ini? Sukan SEA pernah dilabel sebagai sukan sarkas atau sukan kampung, namun ia tidak mengubah pendirian pembuat dasar, iaitu Persekutuan Sukan SEA (SGF) untuk melakukan sebarang rombakan atau pun mengambil pendekatan tegas dengan menghadkan sukan ini kepada acara-acara penting saja, sejajar atau selari dengan matlamat untuk melahirkan atlet Asia Tenggara yang berkemampuan mencabar di peringkat tertinggi dalam Sukan Asia, Sukan Olimpik dan pertandingan peringkat dunia.

Tetapi, selagi SGF diurus tadbir oleh pemimpin sukan yang terlalu senior atau berumur, saya berpendapat tidak akan ada perubahan kepada penganjuran Sukan SEA, yang tampak menjadi makin besar disamping kos pengelolaan yang makin membebankan. 

Negara yang muncul juara Sukan SEA juga tidak mencerminkan kekuatan sebenar mereka.
Saya berpendapat, kekuatan sebenar kontinjen bertanding adalah berpaksikan kepada jumlah emas atau rekod yang berjaya dilakar sukan dalam kalendar Sukan Olimpik dan bukannya sukan tradisional atau sukan kecil. Dan barulah negara-negara ini boleh mendabik dada selaku yang terbaik serta terhebat di Asia Tenggara.

Advertisement

Must Watch Video