RENCANA
Pilihan Cheng Hoe mantap
Senarai 29 pemain yang dipilih ketua jurulatih negara Tan Cheng Hoe untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi dua perlawanan bulan ini, menentang Mongolia dan Lubnan mendapat pelbagai reaksi oleh netizen di laman media sosial.
Rata-rata peminat memberi komen positif dengan menyatakan barisan pemain yang dipanggil kali ini cukup menarik susulan pemilihan beberapa nama yang tidak dijangka untuk berada dalam skuad Harimau Malaya.
Malah, seakan tidak sabar untuk melihat skuad negara beraksi, mereka sudah membayangkan formasi yang akan digunakan Cheng Hoe berdasarkan pemilihan pemain kali ini. Semangat bukan? Ini yang kita mahu.
Iklan
Apa pun, beberapa perkara mencuri perhatian penulis antaranya pemilihan sembilan pemain dari skuad bawah 23 tahun negara yang berjaya mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.
Akhyar Rashid, Irfan Zakaria dan Syazwan Andik paling mencuri tumpuan kerana bagi penulis mereka berpotensi untuk menjadi tonggak senior suatu hari nanti ketika pemain muda lain seperti Safawi Rasid, Nor Azam Azih dan Matthew Davies sudah membuktikan keupayaan masing-masing.
Kedua yang menarik untuk diperkatakan adalah pemilihan dua pemain berdarah campuran dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Natxo Insa dan La’Vere Corbin-Ong sebagai antara 15 muka baru selain pemain Kedah, Ariff Farhan Md Isa dan kapten Sabah, Rawilson Batuil.
Ini bermakna, peminat bola sepak tanahair akan dapat melihat adik beradik Natxo dan Kiko Insa bergandingan buat kali pertama setelah Kiko yang kini mewakili kelab Thailand, Bangkok Glass turut terpilih.
Seterusnya yang mencuri tumpuan penulis adalah penyenaraian Khairul Fahmi Che Mat dan Mahali Jasuli selepas kedua-dua pemain ini sudah lama tidak mewakili negara sekaligus mereka bagaikan dilahir semula.
Tetapi, paling menarik daripada perkara yang menarik di atas adalah pemilihan Safiq Rahim. Ketika kapten JDT itu terus dikecam haters, khidmatnya masih ditagih di peringkat antarabangsa.
"Kalau tak bagus, tak kan Cheng Hoe pilih. Tak silap, Safiq tak pernah miss panggilan skuad negara sejak dahulu lagi," kata seorang rakan penulis ketika kami berdebat mengenai pemilihan tersebut.
Suka atau pun tidak, Safiq masih bagus di mata jurulatih dan bagi penulis usahlah kita cemburu apa yang dimiliki pemain itu. Sokongan harus diberikan dan ketepikan segala sentimen yang bermain di fikiran anda.
Kem latihan pusat skuad negara akan bermula Ahad ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bertemu Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Mac dan perlawanan terakhir Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan di Beirut lima hari kemudian.
Must-Watch Video