Skip to main content

Rencana

Perwatakan luar biasa pemain

malaysia_9c7b91b.jpg
Penulis sebenarnya dinasihatkan doktor untuk tidak menyaksikan siaran secara langsung separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF antara Thailand dan Malaysia 5 Disember lalu.

Ia kerana penulis kini sedang beransur pulih daripada serangan jantung yang penulis alami minggu lalu.

Namun, kerana cintakan bola sepak tanah air dan sebagai antara pengamal media yang terlibat dengan edisi 2010 serta 2014, penulis tetap menonton siaran langsung perlawanan tersebut sambil mendoakan kejayaan Harimau Malaya.

Bagi penulis, ia aksi yang cukup dramatik dan reputasi Thailand selaku juara lima kali Piala Suzuki dan jagoan Asean juga tidak mampu mengesahkan kemenangan mereka.

Namun, penulis berasa mental pemain jelas diuji habis-habisan pada aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF kali ini.

Bermula dengan kecederaan tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak serta jaringan sendiri pemain yang menggantikannya, Irfan Zakaria hingga ke penalti lawan pada masa kecederaaan.

Ia jelas aksi yang cukup sulit dan mendebarkan bagi sesiapa saja yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Penulis juga berharap, perlawanan pada Rabu akan turut menguatkan dan mematangkan lagi Syahmi Safari selepas ini.

Bek kanan Selangor itu cemerlang meraih gol penyamaaan pertama negara pada Rabu, namun selepas kedudukan 2-2 dan memasuki masa kecederaan, Syahmi tertampan bola dengan tangan dalam kawasan penalti dan pengadil terus memberi penalti kepada lawan serta kad merah kepadanya.

Mujur penyerang Thailand, Adisak Kraison gagal menyempurnakan sepakan dan Malaysia tetap ke final kali ini.

Memang benar, bola sepak kadang-kala memerlukan sedikit elemen tuah untuk mengukir kejayaan dan ia terbukti pada Rabu.

Namun, bagi penulis satu faktor kekuatan barisan negara kali ini ialah semangat kental dan kekuatan mental mereka.

Bagi sesiapa yang pernah ke Stadium Rajamangala, sudah pasti anda tahu betapa sulitnya buat pemain negara beraksi di sana.

Daripada aksi pertama dengan Kemboja, penulis meramalkan skuad negara kali ini mampu ke final tetapi tidak ramai seyakin penulis.

Penulis percaya, pengendali kebangsaan Tan Cheng Hoe tahu bagaimana membentuk barisan juara selaku penolong kepada Datuk K.Rajagobal ketika Malaysia menjuarai edisi 2010.

Kepada Cheng Hoe, kapten, Zaquan Adha Abdul Radzak, dan seluruh pasukan.. “Selamat Berjuang dan kembalikan Piala Suzuki AFF ke bumi Malaysia!!”
 

Advertisement

Must Watch Video