Pemain bola keranjang remaja China, Zhang Ziyu, kembali mencuri perhatian ramai ketika melakukan debutnya di Piala Asia Wanita B-18 FIBA 2024 dengan sosok badannya yang tegap dan ketinggian mencecah 2.20 meter – lebih tinggi berbanding legenda NBA, Shaquille O’Neal, yang sering kali membuat rakan sepasukan dan pihak lawan tampak ‘kerdil’ –- hal sama yang mencetus fenomena luar biasa buat legenda bola keranjang China, Yao Ming suatu ketika dahulu.
Zhang Ziyu sebelum ini pernah tular ketika mewakili China dalam satu kejohanan sewaktu berusia 14 tahun dengan dianggarkan memiliki ketinggian 2.26 meter sehingga digelar Yao Ming kecil.
Media China melaporkan Zhang Ziyu sudah didedahkan dengan sukan ini sejak kecil oleh ibu dan bapanya yang juga merupakan pemain bola keranjang profesional.
Bapa Zhang Ziyu memiliki ketinggian 2.1 meter manakalaibunya 1.98 meter –- ukuran yang dianggap biasa dalam dunia sukan bola keranjang yang sinonim dengan pemain tinggi lampai.
Namun, Zhang Ziyu dikatakan unik kerana sudah mencapai ketinggian 1.6 meter ketika usianya belum mencecah 10 tahun -- malah ada yang menjangkakan remaja ini mampu menyamai Yao Ming yang memiliki ketinggian 2.29 meter.
Apa pun, hasrat rakyat negara itu untuk melihat Zhang Ziyu menjadi pelapis bola keranjang untuk China semakin hari semakin gemilang.
Sebelum China membuat pertembungan dengan musuh tradisi, Jepun, untuk aksi terakhir kumpulan B, Zhang Ziyu sudah menembusi dominasi pemain Australia dengan muncul penjaring terbanyak menerusi purata 27.5 mata, 10 rebound dan 1.5 bantuan gol.
Pada aksi pembukaan, China menewaskan Indonesia 109-50 dengan pemain berusia 17 tahun itu mencetak 19 mata, tujuh rebound dan dua bantuan gol selepas masuk sebagai pemain gantian.
Manakala pada aksi kedua kumpulan, China menundukkan New Zealand 90-68 dengan pemain di posisi center itu mengisi senarai utama untuk menyumbang 36 mata, 13 rebound dan satu bantuan gol yang meningkatkan lagi keyakinan skuad muda China untuk mencari kejuaraan ke-17 mereka di kejohanan ini.
Kejohanan yang berlangsung di Shenzhen, China itu turut menyaksikan Malaysia bersaing dalam kumpulan A yang menampilkan juara bertahan, Australia selain Chinese Taipei dan Korea Selatan.
Malaysia tewas dalam ketiga-tiga aksi kumpulan dan kekal berada di kedudukan keempat kumpulan A, sambil menanti perlawanan klasifikasi yang menentukan kedudukan akhir pada penampilan sulung di Piala Asia B-18.
Suzana Basri
Wed Jun 26 2024