Skip to main content

Rencana

Permainan minda Solskjaer, Klopp

cover.jpg
Kali terakhir Liverpool dan Manchester United bertembung, pengurus The Red Devils dipecat daripada jawatannya.

Itu berlaku pada 18 Disember 2018, sehari selepas United tunduk 3-1 di Anfield – satu keputusan yang jauh daripada selesa tetapi tidak mencerminkan penguasaan besar Liverpool yang membuatkan United kelihatan seperti sekumpulan pemain yang ketandusan idea, muflis kesungguhan dan bankrap keupayaan.

Namun, dalam memberi keadilan kepada keadaan, lembaga pengarah United membuat keputusan itu tatkala kehambaran barisan Jose Mourinho ketika itu berlanjutan dengan sekadar menduduki tangga keenam selepas 17 perlawanan, 19 mata di belakang Liverpool yang meduduki singgahsana liga.

Menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Old Trafford tengah malam esok, Solskjaer harus amat mengingati kisah 10 bulan lalu itu, namun nasibnya harus lebih baik, apapun kesudahan perlawanan itu.

Solskjaer akan melihat barisan tempangnya dek krisis kecederaan berarak masuk ke padang dengan bersandarkan kedudukan di tangga ke-12 dengan sembilan mata hasil dua menang dan tiga kali seri dan terpisah 15 mata dengan Liverpool di tangga teratas.

Tekanannya tidak banyak berbeza di antara United yang perlu memperbaiki kedudukan dan Liverpool yang diletakkan sebagai pilihan untuk meneruskan rentetan kemenangan pada ketika jawatan Solskjaer harus masih selamat.



Seperti dilaporkan oleh akhbar Daily Mail, segala petunjuk terarah kepada kemenangan Liverpool, dengan pengulas Sky Sports, Danny Mills, merumuskan tiada pemain United akan terpilih dalam kesebelasan andai kedua-dua pasukan itu digabungkan, sambil Jurgen Klopp menganggapnya tidak lebih daripada satu jenaka untuk menghangatkan bahang perlawanan.

Sampai ke satu peringkat, pengurus Liverpool itu enggan mempercayai laporan bahawa David de Gea dan Paul Pogba tidak akan diturunkan kerana cedera di samping menganggap segala gembar-gembur menjelang pertemuan itu tidak lebih sebagai satu usaha untuk The Reds tergelincir daripada landasan kecemerlangan yang sedang dinikmati mereka.

“Semua ini umpama satu jenaka, seperti melontar kulit pisang untuk kami memijaknya,” kata Klopp yang dalam sidang akhbarnya turut memberikan pendapat bahawa United tetap sebuah pasukan lawan yang sukar dan berbahaya.

Dia turut menjangkakan pasukan lawan itu akan bermati-matian untuk menafikan Liverpool daripada menyamai rekod Manchester City dengan rentetan 18 kemenangan berturut-turut dalam liga.

“United berada dalam satu situasi yang tidak disukai mereka dan mahu mengubahnya. Kami perlu memastikan jika mereka mahu mengubahnya, biarlah ia bermula seminggu lagi.”

Rangsangan tambahan buat Solskjaer dan kesebelasan kendaliannya ialah kepercayaan – bukan di tahap jaminan -- Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward, bahawa pengurus dari Norway itu tidak akan dipecat jika keputusan tidak memihak mereka lagi.



“Kehadiran Ole amat relevan dalam menghasilkan apa yang kami mahu capai. Kita menyaksikan sebuah pasukan yang bermain dengan pantas dan lancar di samping ia mencerminkan falasafah yang dimahukannya.

"Ole telah menerapkan disiplin yang jelas kurang sebelumnya. Dia sedang membina sebuah pasukan yang menghormati sejarah kelab ini, dengan pemain bekerja keras dan menghormati satu sama lain. Tiada siapa yang lebih besar daripada kelab ini,” katanya seperti dipetik oleh Liverpool Echo.

Tapi apa yang tidak dinyatakan Woodward ialah bola sepak tidak menaruh sebarang sentimen atau simpati.

Satu lagi kekalahan mengaibkan memungkinkan Solskjaer mengambil penerbangan tengah malam ke Oslo.

 

Advertisement

Must Watch Video