Skip to main content

Rencana

Perginya tulang belakang di sebalik Jazeman

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

110217-jazeman.jpg
Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) adalah antara mercu tanda kebanggaan negara, sedikit-sebanyak hasil buah tangan Allahyarham Datuk Jaafar Abdul Hamid, yang meninggal dunia pada awal pagi 24 Januari lalu.

Kompleks membeli-belah Subang Parade dan Mahkota Parade di Melaka juga mendapat sentuhan emas Jaafar selaku pengerusi Kumpulan Hektar Asset Management.

Selaku Pengarah Urusan United Engineers Malaysia (UEM) Berhad, Jaafar menjawab terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dan Menteri Belia dan Sukan waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, dalam memastikan Kompleks Sukan Negara yang mula dibina pada Mac 1994, memenuhi piawaian dan menepati garis waktu ditetapkan.

“Waktu itu cukup mencabar,” katanya kepada penulis.

“Setiap bulan kami dikehendaki membentangkan laporan kepada jawatankuasa Sukan Komanwel. Dengan Dr Mahathir, anda harus teliti,” Jaafar mengimbasnya semula dalam beberapa siri pertemuan kami, sama ada di kediamannya di Saujana, Subang atau pejabatnya di Plaza Damas.

Kompleks Sukan Negara, projek yang membabitkan pertukaran tanah dengan UEM memperolehi dua tapak tanah bernilai RM554 juta sebagai habuan membiaya, membina dan menyerahkan kemudahan kompleks sukan negara kepada kerajaan, siap sepenuhnya pada Jun 1998 dan dirasmikan oleh Dr Mahathir pada 1 Julai, 1998, lebih dua bulan sebelum Sukan Komanwel pertama di Asia. Ia projek kebanggaan UEM kerana ia siap mengikut bajet, memenuhi garis waktu dan menepati piawaian antarabangsa.

Namun, legasi paling besar Jaafar adalah Jazeman Firhan, anak bongsunya yang ditatang bagai minyak yang penuh untuk mengejar impian mendaki ke puncak Formula Satu.

Kali pertama penulis bertemu dengan Jaafar pada 2003, selepas rakan penulis, Randhir Singh, bekas wartawan The New Straits Times, mencadangkan agar penulis menemu bual keluarga Jaafar dalam menceritakan potensi Jazeman, atau Man, dalam kalangan keluarga dan taulan. 

Gambar ini dirakam di kediaman Jaafar di Saujana, Subang, pada 2003, ketika Jazeman berusia 10 tahun. Penulis menukilkan usaha Jaafar meletakkan Jazeman bersama PDB Racing Team di Vlaardingen, kira-kira 60km dari Amsterdam, Belanda.

Kisah Jaafar berjoging sambil memegang tali pada waktu Jazeman berjinak-jinak dengan go-kart, diketahui umum. 

Bercerita latar belakang keluarga, kebetulan Jaafar dan penulis berasal dari negeri yang sama, bahkan bapanya seorang tokoh pentadbiran disegani Johor yang berasal dari Muar.

Jaafar membawa penulis bersama jurufoto, Khairul Mazzaman Ghazali, ke bilik Jazeman. Sebagai marhaen, penulis mengagumi kemampuan Jaafar untuk menyediakan permainan konsol dan simulasi di bilik khas untuk Jazeman, yang memulakan kerjaya dalam karting pada usia enam tahun serta mendapat lesen pada usia tujuh tahun, pelumba termuda diberi pengiktirafan itu. 

Bermula saat itu, perkenalan kami bertukar menjadi satu persahabatan. 

Setiap kali menjelang Aidilfitri, penulis menerima bungkusan kuih-muih tradisional dibungkus dalam bungkusan khas daripada Jaafar, lazimnya selepas pembantu peribadinya, Patti, mengesahkan alamat penulis.

Selepas penulis berhenti daripada The Malay Mail pada 2008, penulis tetap mengikuti perkembangan Jazeman tetapi sekadar bertukar mesej ucapan hari kebesaran dengan Jaafar. Tidak lama kemudian, keadaan kesihatan Jaafar tidak mengizinkan, bahkan Allahyarham menjalani pemindahan buah pinggang. Semangatnya tetap kental dalam memastikan Jazeman kekal fokus terhadap kerjaya.

Secara kebetulan, penulis diberi peluang menemuramah Jazeman dalam program Grandstand Ahad pada Disember 2011. Kemudian penulis mengambil kesempatan bertemu semula Jazeman yang berpangkalan di London di kediamannya sempena rumah terbuka Aidilfitri 2012 anjuran bapanya.

Pada awal 2015, Jaafar mendedahkan kepada penulis pertemuannya dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengenai kesediaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong kerjaya Jazeman dari segi tajaan.



 “You jangan tulis dulu, tunggu apa menteri cakap,” katanya dalam pertemuan di pejabatnya di Hektar Real Estate Investment Trust di Plaza Damas.
 
Jaafar menyedari untuk KBS mengeluarkan perbelanjaan besar agak sukar tetapi waktu itu Allahyarham menyimpan impian agar sektor swasta membantu memenuhi impian rakyat Malaysia menyaksikan anak Malaysia memandu semula dalam F1, selepas Alex Yoong diterjunkan ke litar berprestij itu pada 2001-2002.

Sambil menyatakan penghargaannya kepada Petronas yang membiayai kerjaya Jazeman sejak 2008, Jaafar maklum bahawa untuk mendapatkan Jazeman slot dalam F1, sumber kewangan menelan belanja besar.

Allahyarham memberi contoh Felipe Nasr berlumba untuk Sauber disebabkan kemampuannya membawa tajaan peribadi berjumlah 10-12 juta pound dari Banco do Brasil, begitu juga Marcus Ericsson.

Pemergian Jaafar tentunya sukar, apatah lagi Allahyarham mengiringi setiap langkah Jazeman dari awal dalam go-kart, Formula Renault Asia, Formula BMW Asia, Formula 3 British, Formula Renault 3.5 dan Blancpain Endurance dan Sprint Series.

Namun kesudahannya, bukan saat membakar trek di litar yang menemani Jazeman dalam mengenang bapanya waktu ini. Bukan juga soal sama ada Jazeman bergelar pelumba F1 atau tidak.

Tentunya kata-kata semangat bersulam gurau-senda yang menandai  kembara hidup kedua-duanya ditinggalkan sebagai legasi abadi Allahyarham untuk anaknya.

Al-Fatihah dan Al-Ikhlas khusus untuk Allahyarham Datuk Jaafar Abdul Hamid. Amin.



Advertisement

Must Watch Video