Skip to main content

Rencana

Peranan penting Syamer, Akram

syamer.jpg
Saingan peringkat separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 pada di antara Malaysia dan Thailand pasti menjadi perlawanan yang paling dinantikan peminat kedua-dua negara, Sabtu ini. 

Ini kerana kedua-dua negara mempunyai sejarah silam yang menarik untuk diceritakan setiap kali bertemu.

Seperti biasa, jika kedua-dua pasukan berentap, sudah tentu pasukan Thailand dipilih selaku pasukan pilihan dan Malaysia sudah begitu sinonim dengan gelaran “underdog”. 

Tetapi, memandangkan ini merupakan separuh akhir pertama dan perlawanan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, ramai berasakan Thailand akan mempamerkan corak bertahan.

Jika jangkaan ini tepat, penulis percaya penggerak jentera serangan, trio Matyo-Safawi-Sumareh, harus bijak memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki agar dapat diterjemahkan dalam bentuk jaringan gol. 

Pada masa sama, bahagian pertahanan juga perlu sentiasa peka disaat melakukan serangan memandangkan Thailand pasti akan sekali-sekala melakukan serangan balas pantas jika terdapat ruang terbuka.

Jadi, penulis berasakan dua pemain tengah bertahan, Syamer Kutty dan Akram Mahinan, akan memainkan peranan yang amat penting di saat pasukan negara sedang menyerang mahupun bertahan.

Kedua-dua gandingan itu memainkan peranan yang amat berkesan sewaktu bertahan ketika berdepan Myanmar dengan banyak mematahkan serangan balas selain “intercept” yang menyelamatkan gawang negara dari terus diasak.

Sewaktu melakukan serangan pula, Syamer dan Akram dilihat bergandingan membuka ruang dan menghantar bola ke kiri dan kanan untuk mencorakkan serangan yang lebih kreatif dari bawah.

Penulis bukanlah pakar taktikal, cuma penulisan ini bersandarkan kepada aksi Malaysia berdepan Myanmar.

Penulis berharap agar dua gandingan pemain muda itu mampu mengekalkan prestasi sama atau lebih baik sewaktu berdepan Thailand selain mampu menguasai bahagian tengah menggunakan kelebihan fizikal yang dimiliki mereka.

Advertisement

Must Watch Video