Sang Garuda mengingatkan seteru Piala ASEAN FIFA bahawa barisan ketika ini berdaya saing untuk merangkul kejuaraan dalam edisi pengenalannya.
Dengan kelebihan Stadium Bung Karno di Jakarta sebagai kubu yang mampu menggerunkan pihak lawan, hasrat itu diluahkan ketua jurulatih Indonesia, John Herdman.
"Kami sangat optimis, sebagai pasukan kami berkeyakinan terhadap kemampuan sendiri.
"Kami percaya bahawa jika kami fokus kepada diri sendiri dan membuktikan keupayaan diri -- dan bukannya sibuk cuba membuktikan kesalahan orang lain -- kami mampu menyelesaikan tugas dengan baik, kerana pasukan ini berbakat.
"Jadi, ia tentang kami sendiri. Setiap perlawanan kami berjuang untuk mengatasi kemampuan sendiri.
"Jika kami dapat mengekalkan standard sebegini, kami mempunyai peluang yang sangat besar untuk menjulang trofi," kata pengendali Inggeris itu.
Tuan rumah akan membuka kempen Kumpulan A berdepan Singapura pada Jumaat ini sebelum mengadakan perhitungan dengan Malaysia, tiga hari kemudian.
"Kami melayani perlawanan demi perlawanan.
"Kami akan beri tumpuan melawan Singapura dan meraih tiga mata," katanya lagi.