Skip to main content

Berbasikal

TSG bawa strategi tersendiri menjelang LTdL 2026

ww

Demi pungutan mata ranking, Terengganu Cycling Team (TSG) rela ‘melepaskan’ pemburuan kategori Asia dan memasang sasaran lebih besar pada saingan edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang akan bermula pada  27 September hingga 4 Oktober ini.

Dengan kedudukan ranking pasukan Asia semakin digugat oleh pasukan XDS-Astana Development Team, TSG perlu memastikan untuk meraih mata ranking sebanyak mungkin pada LTdL26 ini bagi menjamin kedudukan dalam kelompok tiga teratas pasukan Benua Asia.

Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, berbanding tahun-tahun sebelum ini, TSG akan menampilkan hanya dua pelumba tempatan dan empat pelumba import dari luar Asia bagi memastikan sasaran 10 terbaik dalam klasifikasi individu keseluruhan (GC) dan sekurang-kurangnya satu podium di peringkat landai dapat dicapai.

“Kami akan menurunkan Muhamad Nur Aiman Zhariff dan Muhamad Nur Aiman Rosli dalam barisan enam pelumba, bersama-sama empat tenaga import iaitu Zeb Kyffin (Britain), Adne Willemjan Van Engelen (Belanda), Pierre Barbier (Perancis) dan Matthias Bregnhoj (Denmark).

“Kami berharap dapat menempatkan pakar pendaki kami dalam kelompok 10 terbaik GC dan sekurang-kurangnya ‘mencuri’ satu podium di peringkat laluan landai.

“Ini penting kerana kami perlukan mata ranking sebanyak mungkin supaya berada dalam kalangan tiga terbaik pasukan Benua Asia dan mendapat tiket undangan automatik dalam pelbagai perlumbaan di benua ini pada tahun depan,” kata Nasiruddin ketika dihubungi.

Daripada senarai enam pelumba berkenaan, memang sudah jelas bahawa Van Engelen, Bregnhoj dan pemenang jersi Raja Bukit (KOM) dua kali pada LTdL2020 dan LTdL2022, Aiman Zariff menjadi taruhan di laluan berbukit manakala Barbier menjadi pakar pecut tunggal ketika henjutan terakhir.

Pemenang peringkat 7 LTdL25 yang juga bekas pelumba Unibet, Kyffin serta ‘pakar breakway’ yang juga juara kebangsaan ujian masa individu (ITT) tujuh kali termasuk musim 2026, Aiman Rosli mungkin berperanan membawa Barbier ke kelompok depan sebelum pecutan terakhir, atau berperanan meloloskan diri secara solo atau dalam kumpulan kecil untuk menafikan peluang pakar pecut pasukan lain.

Bregnhoj muncul pelumba terbaik TSG tahun lalu apabila menduduki tangga ke-11 keseluruhan diikuti Van Engelen (23) manakala Aiman Rosli di tangga ke-77. Kyffin pula berada di tangga ke-31 ketika mewakili Unibet.

Berdasarkan senarai ranking setakat 20 September, TSG berada di tangga ke-37 keseluruhan dengan 1,227 mata, dan ketiga dalam kalangan pasukan Benua Asia - di belakang Li Ning Stars (China) dan Roojai Insurance Winspace (Thailand).

XDS-Astana Development Team yang menjadi pasukan pelapis/satelit bagi pasukan WorldTeam, XDS-Astana yang turut mengambil bahagian dalam LTdL26 ini, kini berada di tangga ke-39 ranking UCI dengan mengumpul 1148.1 mata.

Nasiruddin berkata, senario kemunculan banyak pasukan Benua sejak beberapa tahun ini, terutama yang berdaftar di China serta keghairahan mereka mendapatkan khidmat pelumba import menyebabkan persaingan merebut kelompok teratas ranking Asia, menjadi semakin sukar dan sengit.

“Kerana itulah TSG membawa pendekatan strategi yang agak berbeza pada LTdL26 ini dengan harapan dapat mencapai sasaran yang sudah kami tetapkan,” katanya sambil menambah enam pelumba itu kini berada di tahap terbaik selepas menyertai Tour of Lake Taihu pada 12-16 September dan Tour of Huangshan yang baru berakhir Ahad lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, TSG tetap menjadi tarikan buat peminat tempatan sekalipun menurunkan barisan agak ‘berbeza’ pada edisi kali ini.

“Kita tahu TSG mempunyai ramai peminat dan kelibat Aiman Rosli pada Peringkat 7 Melaka-Medini pada tahun lalu juga masih segar dalam ingatan dan tidak mustahil beliau bakal mengulangi kehebatannya kerana ada beberapa laluan yang sesuai untuk pelumba sepertinya.

“Tetapi harus diingatkan bahawa laluan LTdL26 kali ini amat berbeza kerana ada tiga pendakian ke puncak iaitu Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands. Jadi faktor ketahanan fizikal, mental dan aspek pemulihan (recovery) amat penting,” kata Emir.

Edisi ke-30 LTdL26 akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada Ahad ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober depan, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.

Jelajah berstatus 2.ProSeries itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) serta mendapat sokongan penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Anda mungkin berminat dengan

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Must Watch Video

Advertisement