Skip to main content

Rencana

Penyokong Liverpool jangan malu-malu nak sokong United

kops-fans.jpg
Pertembungan 'derby' Manchester di antara United dan City, awal pagi esok bakal menjadi perlawanan paling penting dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

City hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Liverpool, namun akan kembali ke puncak dan hampir pasti menjadi juara andai melengkapkan perlawanan ke-35 itu dengan kemenangan.

Justeru, penyokong Liverpool kini terpaksa bergantung harap kepada musuh tradisi mereka itu untuk sekurang-kurangnya membuatkan City keciciran mata.

Liverpool menyokong United atau United disokong Liverpool.

Baik yang menyokong atau disokong, kedua-duanya pasti akan memperlihatkan kecanggungan dan perasaan berbelah-bahagi.

Mahukah penyokong United melihat pasukan mereka turut disokong penyokong Liverpool?

Sesuatu yang amat janggal dan jarang-jarang dapat disaksikan memandangkan perseteruan di antara dua kelab itu sudah tercetus sejak zaman Revolusi Industri lagi.

Bagaimanapun, dengan keadaan United sekarang ini, penyokong mereka perlu memilih satu daripada dua -- sama ada mahu menyaksikan kelab mereka beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan atau kehilangan "bahan" utama yang sebelum ini menjadi benteng terakhir sejak 29 tahun lalu.

United kini ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, dan kemenangan dalam aksi 'derby' itu akan menghidupkan kembali peluang mereka untuk menghuni kelompok empat teratas menjelang penamat musim ini -- Chelsea telah beraksi lebih satu perlawanan.

Namun, andai mereka menewaskan City, ia secara tidak langsung akan membantu Liverpool menamatkan kemarau 29 tahun kejuaraan liga divisyen utama England -- kali pertama sejak penjenamaan semula sebagai Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jadi, sebagai penyokong United, adakah mereka memilih untuk tidak menyaksikan pasukan mereka menyertai Liga Juara-Juara Eropah musim depan atau melihat Liverpool menjulang kejuaraan yang kali terakhir diraih pada 1990 itu?

Rumit sungguh untuk menjadi penyokong United buat masa ini, pasti perasaan mereka berbelah-bahagi.

Penyokong Liverpool pula, adakah mereka sanggup menelan keegoan mereka untuk menyokong satu-satunya pasukan yang dibenci selama ini?

Harus diingat, jika City menewaskan United, mereka hampir pasti bergelar juara dengan hanya akan berdepan Burnley, Leicester City dan Brighton & Hove Albion dengan kelebihan satu mata di atas Liverpool.

Jadi, penyokong Liverpool perlu memilih sama ada untuk seteru mereka itu mendabik dada dengan menewaskan City -- yang membantu kejuaraan mereka -- atau sekali lagi kempunan untuk ayat keramat "tahun ini adalah tahun kami" akan terus dibawa sebagai azam baru musim depan.

Penantian 29 tahun itu bukan terlalu singkat, bahkan penyokong Liverpool yang lahir dalam zaman 90-an tidak pernah pun melihat barang sekali pasukan kesayangan mereka itu menjulang kejuaraan Liga Perdana.

Sanggupkah mereka hidup dengan ego mereka itu untuk sekali lagi berputih mata?

Jadi, buat penyokong Liverpool, adakah anda masih malu-malu lagi untuk menyokong United, awal pagi esok?

James Milner pun sudah mengakui akan menyokong United dalam perlawanan itu manakala legenda, Robbie Fowler, tanpa berselindung mengharapkan United akan menewaskan City.

Anda pula bagaimana?

Advertisement

Must Watch Video