Kemerosotan kehadiran penonton di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kebelakangan ini menyebabkan Johor Darul Ta'zim (JDT) kehilangan dua penaja tahun hadapan.
Sudah pastilah kekurangan dana akan memberi kesan kepada perancangan pengurusan untuk kemajuan pasukan JDT dalam membangunkan bola sepak di negeri Johor, apatah lagi akan bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.
Kenapa kemerosotan penonton boleh terjadi sedangkan sebelum ini penyokong JDT begitu setia bersama pasukan?
Apakah pengurusan JDT, terutama di bahagian pemasaran (Johor Southern Tigers), ada membuat kaji selidik tentang kemerosotan ini?
Apakah JST sudah mengumpul maklumat dan mengetahui masalahnya?
Apakah solusi yang dapat mengatasi masalah itu?
Bagaimana untuk memastikan masalah ini tidak akan berulang lagi?
Inilah persoalan demi persoalan yang bermain di fikiran penyokong JDT ketika ini.
Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh JST ketika ini?
Tindakan pantas perlu dilakukan oleh JST untuk memastikan masalah ini dapat ditangani dan diperbaiki dengan segera.
Apakah cukup dengan hanya menyampaikan info terkini melalui laman sesawang dan kemudahan yang canggih tetapi hakikat sebenarnya hubungan di antara kelab dan penyokong begitu dingin?
Advertisement
Ia Ibarat irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan, di mana pengurusan JST perlu bijak dalam merancang dan sentiasa mengambil berat apa yang disuarakan oleh penyokongnya demi kebaikan pasukan JDT.
Memang benar pengurusan mempunyai perancangan dalam hala tuju pasukan JDT tetapi jangan lupa hak penyokong kerana sukan bola sepak kini adalah suatu perniagaan.
Dalam konteks ini, pengurusan JDT juga perlu tahu bagaimana penyokong memainkan peranan -- bukan hanya memiliki jenama dan produk yang baik itu sudah menjamin keuntungan kepada pasukan.
Rancanglah pelbagai aktiviti yang boleh mendekatkan penyokong dengan kelab supaya ia mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada penaja.
Turunlah ke akar umbi bersama penaja kerana itu yang diinginkan oleh penaja supaya mereka mendapat pulangan setelah apa yang dilaburkan.
Jagalah perkhidmatan selepas jualan sebagaimana yang biasa kita dengar, namun agak sukar untuk dilaksanakan.
Lihatlah kelab-kelab di Eropah yang bijak menjaga penyokong mereka dengan merancang aktiviti di serata dunia untuk mengekalkan hubungan di antara kelab bersama penyokong dan penaja.
JST perlu ingat, apa yang pernah dinyatakan oleh bekas Presiden FAM dan pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), yang bola sepak ini milik rakyat, maka jagalah hubungan dengan penyokong dan penaja supaya mereka sentiasa dekat dan bersama-sama kelab dalam apa jua keadaan.
Jangan biarkan mereka berasa muak dan bosan sehingga membawa kepada protes yang tidak membawa kebaikan kepada kelab.
Bukan hanya kehadiran penonton ke stadium akan menjamin pulangan kepada penaja tetapi aktiviti yang boleh membawa pulangan kepada penaja juga memainkan peranan dalam kemajuan kelab.