Skip to main content

Rencana

Penjaga gol si penjual burger

keeper.jpg
Skuad bola baling lelaki negara dikritik selepas dibelasah 11-64 oleh Qatar yang memegang status naib juara dunia dan juara bertahan Sukan Asia.

Realitinya, ramai tidak tahu skuad negara baru buat penampilan sulung Sukan Asia malah ini kejohanan antarabangsa pertama tahun ini.

Saya melihat mereka jauh ketinggalan dibelakang gergasi seperti Qatar, Bahrain dan Korea Selatan.

Malaysia hanya memulakan program latihan Januari lalu dibawah kendalian jurulatih, Shamsul Nizam Muhammad Ali.

Malah, semua pemain negara bertaraf separuh masa. Kebanyakannya pelajar tetapi ada yang bekerja bank, pegawai Institut Sukan Negara, jurutera dan paling mencuri tumpuan, peniaga burger.

Muhammad Fikree Azman mempunyai tiga tugas penting. Penjaga gol negara, pelajar dan penjual burger.

Dia tidak segan mengakui terpaksa melakukan semua tugas itu kerana bapanya seorang pengawal keselamatan sementara ibu, suri rumah.

"Selepas tamat sekolah menengah, saya terus bekerja sebagai pembantu gerai burger. Penat memang penat tapi ini tanggungjawab saya.

"Pekerjaan ini bantu saya belajar berkomunikasi, bersabar dan menguruskan masa. Semua itu saya terjemahkan ketika menyertai kem latihan skuad bola baling negara," katanya.

Fikree antara tiga penjaga gol yang dibawa ke Jakarta.

Dua lagi penjaga gol ialah Najhan Md Bohari dan Khairul Amirul Abdullah, kesemuanya masih cetek pengalaman di pentas antarabangsa.

Inilah cabaran untuk skuad bola baling negara, yang beraksi di Jakarta atas tiket kategori B (kos 
ditanggung sendiri persatuan).

Kumpulan perintis ini akan jadi penanda aras sama ada adakah mereka masih relevan untuk menyertai temasya 2022 di Hangzhou, China. 
 
Setidak-tidaknya jika mampu beri cabaran ia satu permulaan baik. Jangan pula jadi mangsa belasahan kerana kita perlu menjaga imej sukan negara.

Selamat berjaya kepada Fikree dan rakan-rakan. 

Advertisement

Must Watch Video