Skip to main content

Rencana

Pengurus baru tidak akan selesaikan masalah United

44869873112_0824d33275_o.jpg
Segalanya telah berakhir buat Jose Mourinho dan Manchester United. Selepas dua setengah tahun, kelab telah mengumumkan semalam bahawa Mourinho tidak lagi sekutu bersama The Red Devils. Tewas 3-1 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, United akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan khidmat Mourinho.

Selepas mengharungi permulaan hambar musim ini, keputusan positif yang diperlukan tidak hadir buat United dan karier Mourinho bersama kelab tersebut berada di bawah tekanan sejak beberapa bulan lalu. Jika terdapat pihak yang merumuskan bahawa United telah gagal mempamerkan persembahan berkualiti, ia adalah satu kenyataan yang kurang benar.

Mourinho telah memberikan sesuatu kepada kelab dalam tempoh dua setengah tahun untuk United, namun kegagalan untuk mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu sementara tiada gelaran EPL menjadi faktor utama. 

Terdapat juga laporan yang menyatakan beliau sudah kehilangan kepercayaan daripada barisan pemainnya dan perkara itu jelas dilihat selepas Paul Pogba tidak diturunkan ketika perlawanan penting ketika berdepan Liverpool.

Sindrom musim ketiga Mourinho bersama kelab-kelab kendaliannya sebelum ini adalah bukti kegagalannya terhadap kemahiran pengurusannya. 

The Red Devils mengharungi permulaan yang paling teruk dalam tempoh 29 tahun dan kini menghuni tangga keenam liga, 19 mata ketinggalan kepada Liverpool dan 11 mata untuk mengejar kedudukan empat terbaik.

United bolos 29 kali dan memiliki perbezaan jaringan yang paling teruk (0) dalam kalangan 10 pasukan teratas EPL. Menjadikan permainan bertahan atau "negative football" sebagai bekalan utama, Mourinho gagal memberikan tentangan kepada lawan dan selepas 17 perlawanan, sebaliknya United hanya menang tujuh kali.

Bola sepak adalah permainan berpasukan dan bukan hanya satu individu yang harus bertanggungjawab jika gagal. Taktikal Mourinho mungkin sudah boleh diteka dan lapuk tetapi perancangannya tidak dilaksanakan dengan baik oleh skuad yang sedia ada. Tambahan pula, Mourinho tidak dapat membawa beberapa pemain yang diperlukan untuk menghadapi musim ini.

Sebagai contoh, kegagalan terbesar dalam skuad United musim ini adalah penyerang utama mereka, Romelu Lukaku. Gagal mengulangi persembahan musim lalu -- cemerlang bersama Belgium -- namun tidak mampu melakukan perkara yang sama untuk United.

Pemain-pemain United perlu turut memainkan peranan dalam meningkatkan mutu permainan. Jika tidak, sesiapa sekalipun yang mengambil alih pasukan tidak mampu mencipta keajaiban dan mengubah nasib pasukan ini.

Dalam ketiadaan Mourinho menjelang jendela perpindahan Januari yang bakal dibuka tidak lama lagi, United memerlukan pemain yang mampu menyesuaikan diri dalam sistem permainan pasukan bagi menyelamatkan musim mereka.

Advertisement

Must Watch Video