RENCANA
Peminat sampai 'PM' Chong Wei di Facebook minta tiket Terbuka Malaysia
Menginjak usia 35 tahun, Chong Wei masih atlet kegemaran negara. Tolak ketepi segala kemelut dan konflik yang melanda dirinya, Chong Wei masih lagi ikon dalam menyatukan rakyat Malaysia.
Masakan tidak acapkali skuad badminton negara bertanding, pasti seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, tua dan muda akan terpacak di hadapan televisyen menyaksikan penuh debar pertarungan pemain negara.
Kini dalam Terbuka Malaysia 2017, Chong Wei kembali dan dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.
Iklan
Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia untuk edisi kali ini dilangsungkan di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, Sarawak.
Kali terakhir kejohanan ini dilangsungkan di Sarawak adalah 11 tahun lalu, pada 2006, yang turut menyaksikan Chong Wei menjadi juara menewaskan seteru utamanya, Lin Dan.
Meskipun penat kerana baru sahaja tamat perlawanan pertamanya semalam, menentang pemain England, Rajiv Ouseph, Chong Wei tetap ramah dan sempat berseloroh.
" Peminat sampai 'pm' saya di Facebook untuk mintak tiket, tapi tiket banyak dah habis.
"Saya rasa ini satu perkembangan yang bagus di Sarawak selepas lama kejohanan sebegini tak dianjurkan di sini. Dan saya harap kejohanan sebegini mampu dianjurkan ke negeri-negeri lain juga, supaya peminat di setiap negeri mempunyai peluang untuk menyaksikan pemain kegemaran mereka secara dekat "
Dalam nada dia berseloroh itu ada kebenarannya. Jarang sekali kerusi di venue pertandingan dipenuhi penonton pada pusingan pertama dalam mana-mana kejohanan badminton, terutamanya di Malaysia. Namun peminat di Sarawak tidak lokek untuk melabur sebanyak RM20 melihat jaguhan badminton dunia berentap di Bumi Kenyalang.
Sampaikan yang kerap bermain di Malaysia pun terkejut dengan peminat di sini, menyokong dan memberi galakan kepadanya ketika bertemu pemain India, B. Sai Praneeth.
"Ini kali pertama peminat tempatan bersorak untuk saya di Malaysia, sudah pasti saya rasa gembira" Ujar Lin Dan dalam bahasa Mandarin sambil tergelak. Jarang juga pengamal media tempatan melihat Lin Dan boleh bergurau mesra sesama mereka.
Penonton tempatan ternyata teruja dengan kehadiran nama-nama besar di Sarawak, dengan berbekalkan harga tiket RM20 mereka boleh duduk seharian di Stadium Perpaduan sambil dijamukan aksi badminton berkelas dunia.
Bayangkan bayar RM20 duduk dari pagi sampai ke malam, tengok wayang pun tidak seuntung sebegini, bukan?
Tapi itu harga untuk pusingan pertama semalam, harga tiket untuk hari-hari seterusnya akan bermula pada harga RM30, RM40, RM50 sehingga ke perlawanan akhir RM60.
Sebelum saya akhiri, ingin saya tanya kepada anda pembaca Stadium Astro, kitak udah beli tiket sik?
Must-Watch Video