Sebelum ini, pemerhati dan peminat bola sepak tempatan memberi pelbagai reaksi mengenai pendekatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mengambil pemain berdarah warisan dan naturalisasi untuk skuad kebangsaan.

Tidak kurang juga ada yang sangsi sama ada kemasukan pemain-pemain tersebut mampu memberi pulangan positif buat barisan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Bagi penulis, pemain berdarah warisan serta naturalisasi mempunyai kelebihan sendiri berbanding pemain tempatan dan kerana itu penulis sentiasa menyokong usaha FAM dalam pengambilan mereka untuk menguatkan barisan negara.

Cuma penulis berasa usaha seperti Pogram Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) perlu terus diperkasakan bagi memastikan kita tidak mengabaikan pemain tempatan di peringkat akar umbi.

Jika kita lihat kepada beberapa pemain berdarah warisan dan naturalisasi dalam Liga Super, sesetengah daripada mereka pada awalnya dilihat tidak banyak perbezaan dengan pemain tempatan.

Tetapi lama-kelamaan, mereka berupaya menjelmakan tahap dan aksi yang lebih baik berbanding pemain tempatan lain serta berhak menyarung jersi Harimau Malaya dan contoh terbaik adalah Brendan Gan.

Brendan pernah dua kali mengalami kecederaan lutut ACL ketika dia bersama Kelantan, namun selepas rehat setahun dia kembali bersama Perak pada 2017 dan selepas itu terus mendapat kepercayaan Tan Cheng Hoe di saingan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia pada 2019.

Perkara sama juga boleh dikatakan mengenai Junior Eldstal, dia sudah pun bersara pada 2018 kerana kecederaan belakang yang serius, tetapi selepas beberapa tahun memutuskan untuk kembali beraksi sebagai pemain profesional.

Pemain berdarah kacukan Sweden-Malaysia ini membuat kemunculan kembali di peringkat profesional bersama kelab Liga Satu Thailand, Chonburi musim ini dan kelibatnya di sana sudah mula mendapat perhatian Cheng Hoe.

Penulis percaya, tidak mustahil Cheng Hoe akan memanggil Junior untuk menguatkan barisan negara bagi aksi kelayakan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand dalam baki tiga aksi kelayakan Jun depan.

Kelebihan fizikal Junior serta kemampuannya beraksi di bahagian tengah atau pertahanan, mampu menambah keampuhan skuad negara dalam misi layak ke Piala Asia 2023 dan jika boleh, melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.

Memang benar tiada jaminan jika junior bersama skuad negara kejayaan mampu diraih namun, kehadirannya di tahap terbaik sudah pasti mampu menambah pilihan buat Cheng Hoe membentuk barisan lebih padu di saingan kelayakan yang bakal berlangsung di UAE.

Pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi yang sebelum ini gagal menyerlah kerana kecederaan bersama Melaka United dan Johor Darul Takzim (JDT) sehingga dipinjamkan ke kelab Liga A,Newcastle Jets turut mempamerkan aksi mengagumkan biarpun lebih kerap diturunkan sebagai pemain gantian ketika ini.

Liridon atau lebih sinonim dengan panggilan "Mat Don" sudah mula mencuri perhatian peminat setia Newcastle Jet dan rata-rata mereka mahu pengendali pasukan, Ashley Wilson menurunkan pemain kelahiran Kosovo itu dalam kesebelasan utama.

Penulis berharap jika Liridon mendapat panggilan ke skuad negara untuk saingan kelayakan nanti, dia mampu menjelmakan aksi terbaik membantu barisan negara menangani keampuhan UAE, Vietnam dan Thailand.

Apa yang penulis boleh simpulkan, pemain berdarah warisan serta naturalisasi seperti Brendan,Junior dan Liridon mempunyai bakat yang baik tetapi masalah kecederaan mungkin melewatkan sedikit prestasi kemuncak mereka.

Namun, kesungguhan mereka untuk bangkit daripada masalah kecederaan dan berupaya kembali ke tahap terbaik wajar dicontohi pemain-pemain tempatan lain.

*Kredit Photo: NST