Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

PEMAIN NATURALISASI: PERLU ATAU TIDAK?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

010615malaysiabukitjalil-jpg.jpg
Isu pemain naturalisasi timbul setelah skuad negara berjaya mengikat gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 24 Julai 2015 hasil bantuan lima pemain import yang beraksi dalam Liga Malaysia.

Sebelum kita melangkah jauh isu naturalisasi pemain Malaysia ini, kita berbalik seketika ke sejarah dan peraturan FIFA mengenai naturalisasi. Jika dilihat apa yang berlaku di negara luar terutama di Eropah, daripada susuk tubuh dan kualiti permainan, tidak dinafikan kebanyakan pemain yang dinaturalisasi ini adalah mereka yang berasal dari Brazil dan negara-negara dari benua Afrika. Malah, kaedah naturalisasi ini juga telah lama dipraktikkan di negara-negara kuasa besar bola sepak seperti Itali, Sepanyol dan Argentina.

Berbalik kepada isu pemain naturalisasi di negara kita, persoalannya, adakah liga bola sepak Malaysia memerlukan pemain naturalisasi untuk memajukan sukan nombor satu negara ini? Jika ada yang tidak bersetuju, persoalannya lagi, sampai bila mahu menunggu bakat-bakat pemain tempatan yang akan muncul?

Malah, apabila saya bertemu dengan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairudin Omar baru-baru ini, beliau sememangnya bersetuju dengan kehadiran pemain-pemain import yang dinaturalisasi dalam liga bola sepak Malaysia. Baginya tiada masalah jika kita mengalu alukan kehadiran pemain naturalisasi ini kerana kita sendiri sedar mereka mampu membantu skuad bola sepak Malaysia untuk pergi lebih jauh. Malah, tidak akan timbul isu pemain tempatan bakal dianak tirikan. Mereka sepatutnya jadikan ia sebagai satu cabaran untuk bekerja dengan lebih keras dalam usaha memberi saingan kepada pemain naturalisasi ini dan bukan hanya menunding jari. Jika betul pemain tempatan ini berkualiti, buktikan yang kita sememangnya lagi bagus untuk beraksi dalam padang berbanding pemain import.

Bukan itu sahaja, penukaran status kewarganegaraan pemain import Malaysia itu tidak dilakukan sewenang wenangnya tanpa melihat latar belakang pemain berkenaan. Perlu diingat, mereka perlu mempunyai pertalian darah dengan negara ini. Seperti pemain The Red Warriors, Brendan Gan di mana bapanya berasal dari Negeri Sembilan dan pemain pasukan Tok Gajah, Matthew Davies yang ibunya dari Sabah. Jadi, bagi saya, tidak ada salahnya mereka yang berdarah kacukan ini diberi status kewarganegaraan Malaysia untuk bola sepak tempatan.

Dengan ranking dunia FIFA sekarang yang terus merudum menyaksikan Malaysia kini di tangga 171 dunia, kita perlu melakukan sesuatu. Mungkin, cadangan oleh bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh untuk menggunakan pemain naturalisasi ada rasionalnya dan  mungkin ini merupakan satu langkah ke hadapan untuk kita lihat liga bola sepak Malaysia maju. Selagi kita tidak keluar daripada zon ‘belasahan’, selagi itu isu pemain dan pembangunan bola sepak kita tidak berubah. Justeru, kita jadikan langkah ini sebagai satu langkah positif untuk sukan nombor satu Malaysia bertapak dengan gah di mata dunia dan buang segala persepsi negatif yang diterima. 

Advertisement

Must Watch Video