Skip to main content

Rencana

Pasukan ‘ghona-ghoni’ ke Seoul

82641251_3024288024270321_8141115749428101120_o.jpg
Liga Malaysia 2020 bakal bermula bulan depan. Sepanjang dua bulan kebelakangan ini, peminat kesemua pasukan begitu teliti mengikuti apa sahaja perkembangan pasukan kesayangan masing masing.

Keutamaan utama bagi penyokong ialah siapa pemain baru dan bagaimana rupa bentuk jersi pasukan.

Tidak terkecuali Kedah Darul Aman walaupun isu jersi mendapat pelbagai reaksi berbeza hinggakan ketirisan bentuk jersi diketahui lebih awal, namun jersi berwarna-warni tetap laris dibeli penyokong Lang Merah.

Kuasa penyokong mengatasi segalanya. Ia terbukti dengan kehadiran hampir 19,000 penonton di Stadium Darul Aman yang turut mengalami transformasi daripada segi tempat duduk, yang kini bernombor dan memerlukan mentaliti penyokong yang profesional demi kelangsungan bola sepak itu sendiri.

Musim 2020 dalam aksi liga domestik belum bermula, namun bagi pasukan dari utara tanah air, Kedah, memulakan cerita musim 2020 dengan kejayaan dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menundukkan pasukan dari Hong Kong, Tai Po FC, yang dilihat bakal menyuntik motivasi tinggi buat pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak itu.

Untuk rekod, kali pertama Kedah beraksi dalam saingan tertinggi AFC ialah pada musim 1994-95 ketika dibimbing Robert Alberts, namun tewas pusingan pertama kepada wakil Korea Selatan, Ilhwa Chunma.

Manakala musim 2008 dalam aksi Piala AFC terhenti dalam suku akhir apabila tewas dalam pertemuan dengan Al Muharraq dari Bahrain.

Misi seterusnya adalah ke Korea Selatan untuk berdepan FC Seoul.

Apa yang diharapkan dengan skuad yang dilihat serba lengkap, baik pemain import mahupun tempatan, Kedah mampu mara lebih jauh atas nama Malaysia.

Pulun Kedah Pulun!


Kredit foto: Kedah FA

Advertisement

Must Watch Video