Skip to main content

Rencana

'Orang besi' tewaskan leukemia

hanapiah.jpg
Lama tidak bertemu dengan bekas ketua jurulatih olahraga negara, Hanapiah Nasir, selepas khidmatnya ditamatkan pada 2009.

Seingat saya, kali terakhir kami bertemu di sebuah hospital di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 2010 - ketika itu dia mengalami kemalangan motorsikal.

Cuma pada 2012 saya mendapat berita Hanapiah disahkan menghidap penyakit leukemia.

Saya sempat menghubungi bekas jurulatih Watson Nyambek itu dan beliau seperti biasa, melayan perbualan seperti individu sihat. 

Mentalnya kuat, itulah Hanapiah yang saya kenali selain kejayaannya merangkul dua pingat emas Sukan SEA menerusi acara dekatlon. 

Minggu lalu, terdetik hati saya untuk kembali menghubungi Hanafiah dan bertanya khabar.
Berita gembira, beliau menyatakan sudah bebas Leukemia.

"Ujian mendapati penyakit saya tidak dapat dikesan lagi. Syukur kerana saya mengamalkan sikap positif dengan mengikut arahan doktor dan menjalani rutin hidup sihat."

"Saya bersenam di gimnasium tiga kali seminggu kerana doktor mengatakan, peluang pesakit untuk pulih dengan cara ini sebanyak 17 peratus. Saya menjaga pemakanan dan makan ubat secara konsisten. Alhamdulillah, saya pulih," katanya.

Terdetik dalam hati saya, mungkin kerana Hanapiah seorang atlet.

Maka, semangat dan disiplin pesakit jenis ini lebih baik. Itu andaian saya saja, mungkin saya perlu buat laporan khas mengenai perkara ini.

Saya juga lihat semangat juang jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei, melawan kanser hidung. Dia juga makin pulih.

Mungkin ada sesuatu yang istimewa mengenai kemampuan atlet negara melawan penyakit. 

Apapun, saya doakan atlet negara terus sihat demi menggalas tanggungjawab negara. Tahun ini penting kerana ada kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kita perlu bersatu untuk buru emas sulung di Tokyo nanti!

Advertisement

Must Watch Video