Skip to main content

Rencana

Oh United, oh Mat Jenin

fernandes.jpg
Apabila bercakap tentang musim perpindahan, ia pasti menjadi sesuatu elemen yang mengujakan buat kebanyakan peminat bola sepak jika melihat kebarangkalian untuk pemain idaman menyarung jersi keramat pasukan dipuja.

Angan-angan dan harapan tinggi itu kadangkala mencapai tahap tertinggi dan tidak masuk akal, menyamai hikayat pemuda melayu, Mat Jenin. Contoh? Ingin melihat Kylian Mbappe beraksi buat Newcastle United.

Namun, ia bukan untuk penyokong tegar Manchester United.

Di peringkat awal, jendela perpindahan tahun ini tampak menjanjikan keseronokan buat peminat The Red Devils selepas kehadiran Bruno Fernandes ke Old Trafford dengan nilai EUR80 juta (RM390 juta) pada Januari lalu sekaligus mencetuskan harapan bahawa Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward, tidak bercakap kosong dalam urusan perbelanjaan membawa masuk pemain susulan kenyataan 'lihat apa yang mampu kami lakukan' pada 2014 .

Malangnya, ia hanyalah cetusan harapan palsu.

Kini, tatkala pintu perpindahan berbaki kurang daripada 48 jam, United masih bergelut untuk mencapai kata sepakat mendapatkan mana-mana pemain bagi musim 2020-2021 kecuali kedatangan Donny Van de Beek, awal bulan lalu.

Bukan lagi Theatre Of Dreams, Old Trafford seolah-olah menjadi satu tempat yang begitu asing buat setiap nama besar bola sepak sehingga mana-mana sasaran akhirnya memilih ke destinasi berbeza.

Thiago Alcantara berhijrah ke Liverpool, Sergio Reguilon dan Gareth Bale ke Tottenham Hotspur, Timo Werner ke Chelsea, kesemua nama itu pernah dikaitkan dengan United sambil kisah bintang Borussia Dortmund yang mungkin sudah muak dihidangkan, Jadon Sancho, masih lagi belum menerima 'lampu hijau' untuk menjalani ujian kesihatan di Carrington, walaupun setelah hampir setahun spekulasi itu dihebahkan.

Apabila menyentuh tentang Sancho, ia lebih perit buat United.

Mereka masih gagal mendapatkan persetujuan ekoran keengganan United membayar nilai yang ditetapkan kelab Bundesliga itu tetapi dalam erti kata lain, mudah buat Dortmund mentertawakan Ole Gunnar Solskjaer dan anak buahnya terutama selepas menjadikan Signal Iduna Park lebih menarik berbanding Old Trafford ketika bersaing mendapatkan khidmat penyerang, Erling Haaland, serta pemain tengah, Jude Bellingham.

"United mencari seorang bek kiri dan sayap kanan, kemudian musim bermula dan mereka masih belum berupaya mendapatkan mana-mana pemain di posisi itu," kata legenda Old Trafford, Rio Ferdinand menerusi petikan daripada Daily Mail.

"United masih belum mendapatkan sebarang pemain kerana telah menghantar individu yang salah untuk melakukan perbincangan," ujar seorang lagi bekas pertahanan The Red Devils, Patrice Evra, menerusi laman Instagram peribadinya.

Situasi yang berlaku menyebabkan timbul elemen terdesak buat United dalam usaha memastikan mampu membawa masuk pemain yang diinginkan setiap peminat dan akhirnya, kemungkinan besar episod sama seperti kisah Alexis Sanchez ketika era Jose Mourinho berlaku, di mana pembayaran gaji membabi buta tanpa mengambil kira logik bola sepak moden.

Tidak belajar daripada kesilapan membayar Sanchez dengan gaji keseluruhan sekitar GBP500,000 (RM2.69 juta) seminggu, United kini dikatakan mencapai persetujuan dengan pemain ejen bebas berusia 33 tahun, Edinson Cavani, seperti yang didedahkan oleh wartawan luar seperti Mohamed Bouhafsi (RMC Sport) serta Fabrizio Romano (Guardian).

Cavani mungkin nama elit dalam dunia bola sepak Eropah tetapi jika mengambil kira prestasinya sejak tahun lalu, tidak mustahil United bakal membayar tinggi untuk seorang pemain yang sudah melewati tempoh terbaik dalam karier.

Ish, itu baru bercakap tentang kemasukan pemain ke United. Belum lagi berbincang mengenai nama-nama yang sepatutnya dilelong keluar dari Old Trafford. Alahai United. Mungkin lebih teruk daripada Mat Jenin.

Advertisement

Must Watch Video