Skip to main content

Rencana

No Safawi, no problem

oks.jpg
Kurang seminggu sebelum sepak mula acara bola sepak Sukan Sea Filipina 2019, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu menerima kejutan apabila pengendali itu tidak menyenaraikan Safawi Rasid sebagai antara pemain yang dipanggil untuk menyertai sesi latihan.

Keputusan menggugurkan Safawi itu bukanlah satu keputusan mudah memandangkan kehadiran pemain kelahiran Terengganu itu sudah tentu akan menambah kekuatan pasukan, akan tetapi mengambil kira pelan jangka masa panjang untuk karier Safawi, adalah wajar untuk beliau diberikan rehat selepas berhempas pulas bermain sepanjang tahun ini.

Secara tidak langsung, situasi itu membuka ruang dan peluang kepada pemain lain untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan dan 32 pemain yang dipanggil harus merebut 20 tempat untuk dibawa ke Filipina.

Tujuh pemain yang bermain bersama skuad senior dipanggil, iaitu Haziq Nadzli, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Daniel Amier Norhisham, Dominic Tan, Syahmi Safari dan Adam Nor Azlin. Pemain JDT, Adam, akan mengisi slot pemain senior memandangkan beliau sudah serasi bermain bersama pemain muda lain sejak dua, tiga tahun lalu.

Tidak terkecuali di panggil adalah penyerang muda negara yang berkelana di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin serta Wan Kuzain Wan Kamal yang beraksi di Amerika Syarikat.

Penulis percaya antara kesemua yang dipanggil menyertai latihan pusat, khidmat Syahmi dan Akhyar pastinya akan menjadi sandaran utama Kim Swee untuk mencapai sasaran dalam Sukan Sea Filipina. Ini kerana pengalaman yang dimiliki mereka bersama skuad senior selain minit permainan yang diperolehi tentunya sedikit-sebanyak akan digunakan untuk aksi di Manila nanti.

Skuad negara sepatutnya tidak berdepan masalah untuk sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan berdasarkan kekuatan yang kita miliki.  Dua pencabar utama, Thailand dan Vietnam, masing-masing berada dalam kumpulan lain, jadi kegagalan melepasi peringkat kumpulan boleh menjadi satu malapetaka buat skuad bawah 23 tahun negara.

Malaysia berada di dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Timor Leste dan tuan rumah Filipina. Kontinjen negara menyasarkan 70 pingat emas untuk edisi kali ini dan adakah skuad bola sepak negara mampu menghadiahkan ibu segala pingat emas itu selepas tewas dalam aksi final kepada Thailand pada 2017, hanya Kim Swee dan anak-anak buahnya sahaja yang ada jawapannya.

Advertisement

Must Watch Video