Skip to main content

Rencana

Nilai sebenar Manchester City

pep-guardiola_3.jpg
Menjelang pengesahan Manchester City selaku juara Liga Perdana Inggeris musim 2017/2018 yang ketika artikel ini ditulis hanya menantikan tiga lagi kemenangan liga, mari kita singkap sejarah penubuhan kelab bola sepak Inggeris yang berusia 124 tahun sejak mengguna pakai nama Manchester City.

Mula beraksi di liga utama pada 1899, kira-kira 5 tahun usia, City yang juga dikenali sebagai The Citizens di kalangan penyokong setia berjaya membawa pulang trofi pertama mereka dari saingan Piala FA pada 1904. 

Mengalami kesukaran untuk maju seiring perkembangan politik dan ekonomi dunia selepas itu, City akhirnya berjaya menemui zaman kegemilangan dari 1968 hingga 1970 dengan sekurang-kurangnya meraih 4 piala.

Di sebalik kenangan pahit sehingga terjerumus ke divisyen 3 pada 1998, City terus belajar daripada pengajaran berguna dengan pengurusan kewangan yang baik mampu meningkatkan kualiti kelab, termasuk kepakaran dan barisan pemain yang dimiliki. 7 tahun selepas kembali semula ke Liga Perdana Inggeris, City tersenarai sebagai sebuah syarikat persendirian dengan anggaran 54 juta unit saham. Antara pemegang saham utama adalah bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang kemudiannya menjadi pengerusi kelab.

Thaksin mungkin memiliki pengalaman memimpin tetapi percubaannya membawa kelab bola sepak tidak begitu menonjol. Dengan nilai £210 juta, City dijual kepada syarikat berpangkalan di Abu Dhabi yang ternyata lebih berani membuat pelaburan. Setahun bersama pemilik baru, City mencuri tumpuan dengan memecahkan rekod perpindahan pemain termahal Britain apabila menandatangani Robinho.

Pelaburan gila ini mula dituai City menerusi kejuaraan Piala FA bagi musim 2010/2011, umpama kelahiran semula kelab ini dengan kembalinya trofi pertama mereka. Seiring dengan itu, penajaan juga berkembang baik dan turut membabitkan penjenamaan semula stadium yang menjadi gelanggang pertempuran. City terus menambah koleksi kejuaraan dengan muncul juara Liga Perdana Inggeris bagi musim 2011/2012 dan 2013/2014. Lebih kejutan bagi 2013/2014 juga menyaksikan City meraih Piala Liga yang diulangi pada 2015/2016.

Di bawah pengurusan Pep Guardiola bermula musim lalu, City tidak meraih sebarang gelaran tetapi ia tertakluk kepada perancangan jurulatih berbakat besar dari Sepanyol itu untuk menyapu bersih kejuaraan musim 2017/2018 menerusi penambah baikan bahagian pertahanan, termasuk mendapatkan khidmat penjaga gol dari Brazil, Ederson Moraes pada jendela perpindahan yang lalu.

Sasaran pertama, Piala Liga sudah berada di dalam genggaman, Liga Perdana Inggeris semakin hampir ke dalam dakapan, malangnya perjuangan di Piala FA berakhir di pusingan kelima dan kini harapan City diteruskan untuk membawa pulang trofi Liga Juara Juara Eropah yang memasuki peringkat suku akhir.

Jadi, rasanya berbaloi tak pelaburan £221.5 juta City musim ini? Kalau mengikut pemerhati bola sepak inggeris, kualiti pemain City ini sama baiknya dengan Manchester United yang berbelanja kurang £75.7 juta. Mungkin juga kebijaksanaan jurulatih dan pihak pengurusan yang membezakan kedudukan kedua-dua pasukan ini.

Advertisement

Must Watch Video