Pelumba Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing, Mohamad Syamil Amsyar Mohd Iffende, tidak menjadikan peraturan berbeza tahun ini sebagai alasan apabila muncul naib juara CP125 dalam pusingan pembukaan, kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Tangkak, minggu lalu.
Anak jati Pulau Pinang itu mengakui tahap keserasian bersama jentera musim ini agak baik namun belum lagi 100 peratus memandangkan terdapatnya pertukaran jentera Yamaha.
Advertisement
"Persiapan memang setiap pusingan ada daripada aspek fizikal dan mental, persiapan saya untuk raih podium lagi memang agak mencabar kerana saya pernah menjuarai kategori ini. Saya mahu buktikan jadi juara lagi.
"Saya sasar juara dalam pusingan kedua di Litar Sepang, saya sudah 'khatam' di Sepang, jadi buat yang terbaik saja.
"Peraturan tahun ini memang agak berbeza tahun ini daripada sebelum ini, sukar mencari tetapan jentera. Buat masa ini keserasian bersama jentera ada cuma belum 100 peratus.
"Pencabar tahun ini orang yang sama setiap tahun selepas empat tahun dalam kategori ini." katanya.