Tular satu video menyaksikan bekas tonggak Kuching City, Gabriel Palmero, sedang berlatih bersama juara Liga Super 12 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Pusat Latihan Padang Seri Gelam.
Bintang kelahiran Sepanyol itu antara tujuh pemain digantung ekoran pemalsuan dokumen tatkala menyarung jersi Harimau Malaya tahun lalu.
Advertisement
Terdahulu, meskipun dibenarkan beraksi untuk sementara waktu, tempoh penggantungan itu disambung semula namun hukuman itu hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan tidak melibatkan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Perkongsian di media sosial itu melihat Palmero menyertai latihan berintensiti tinggi bersama skuad utama Harimau Selatan.
Sebelum ini, laporan tempatan mengesahkan dia tidak lagi bersama Kuching City apabila kedua-dua pihak mengambil langkah penamatan kontrak secara bersama.
Malah, laman transfermarkt juga menunjukkan bintang berusia 24 tahun itu tidak lagi bersama The Cats.
Untuk rekod, Palmero sempat membantu skuad kendalian Aidil Sharin Sahak menjaringkan satu gol dalam tiga penampilan Liga Malaysia (Liga-M).