Skip to main content

Advertisement

Rencana

Nazmi kembali menyinar

nazmi-faiz-mansor.jpg
Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat kejutan kepada peminat bola sepak tanah air apabila mempamerkan satu aksi berkualiti tinggi ketika berhadapan kelab Gyeongnam dari Korea Selatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin untuk perlawanan kedua Piala Juara-Juara Asia (ACL), malam tadi. 

Ia satu persembahan yang bermutu tinggi ditonjolkan oleh pemain-pemain JDT.

Lebih menghiburkan apabila pemain-pemain tempatan telah menunjukkan kematangan dan keyakinan begitu tinggi dengan teknik dan kawalan permainan yang baik serta mampu memberi saingan kepada pasukan yang sudah mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa seperti Gyeognam itu.

Lihat sahaja pemain muda JDT seperti Nazmi Faiz Mansor, Afiq Fazail dan Safawi Rasid yang beraksi di bahagian tengah. Mereka sudah mula menunjukkan kematangan dan persefahaman yang baik dengan pemain-pemain lebih berpengalaman seperti Hariss Harun.

Penulis juga ingin memuji Nazmi, terutama apabila mula menunjukkan sikap dan karakter yang berbeza berbanding sebelum ini kerana kita semua tahu bahawa Nazmi seorang pemain yang sukar untuk mengekalkan rentak permainannya. Ini  disebabkan sikapnya sendiri yang negatif dan tidak mampu bermain sepenuh masa ekoran masalah kecergasan fizikalnya.

Namun, itu semua sudah berubah apabila Nazmi berjaya memainkan peranannya sebagai perancang utama dengan baik di bahagian tengah JDT. 

Dia dapat melakukan hantaran-hantaran tepat, kreatif dan sentiasa bergerak membuka ruang serta membantu bahagian serangan. 

Persefahaman di antara Nazmi dan Safawi juga begitu baik sekali, ini sudah tentu akan memeningkan jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. 

Sekiranya Nazmi mampu mengekalkan prestasinya dalam setiap perlawanan, penulis berasakan sudah tiba masanya Nazmi dipanggil kembali untuk menyertai skuad kebangsaan kerana Malaysia memerlukan pemain tengah kreatif sepertinya, sebagaimana kita tahu kebolehan Nazmi ketika bersama skuad Malaysia B-23 di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dulu.

 

Advertisement

Must Watch Video