Skip to main content

Rencana

Mourinho: Perangnya dengan media

mourinho-3.jpg
Mengapakah Jose Mourinho amat berang dengan media?

Berada di bawah tekanan hebat gara-gara dua kekalahan berturut-turut Manchester United pada awal musim, Jose Mourinho memilih untuk lantang mempertahankan prestasi pasukannya.

Kepada media, pengurus itu melontarkan persoalan apakah yang sebenarnya mereka mahukan – bola sepak yang cemerlang dan menghiburkan atau keputusan positif.

Mempertahankan dirinya, Mourinho menyorot kepada musim lalu apabila United mendapat kritikan hebat gara-gara pendekatan negatif di sebalik meraih kemenangan hingga kesudahannya muncul naib juara di belakang musuh setempat, Manchester City.

Sejurus kekalahan 3-0 kepada Tottenham di Old Trafford, Selasa lalu, pengurus itu enggan mengaku kalah kepada media. Dia mempertahankan bahawa pasukannya cemerlang dalam separuh masa pertama, mereka sentiasa menekan lawan, mencipta deretan peluang dan seharusnya berada di depan.

Namun, dia terperangkap jua.

Berkeras bahawa penyokong terus setia bersama pasukan kendaliannya, Mourinho, bagaimanapun, naik berang apabila diberitahu sebahagian daripada mereka sudah meninggalkan stadium sebelum perlawanan itu berakhir.

“Apa yang anda jangkakan? Kami kalah 3-0 dan sebilangan penyokong tinggal di tengah-tengah kota Manchester yang dua jam perjalanannya.”

Sambil mengangkat tiga jarinya, dia menambah: “Ya, keputusannya 3-0 tapi ia juga bermakna tiga gelaran Liga Perdana – dan saya telah menang lebih banyak gelaran Liga Perdana daripada 19 pengurus lain disatukan.

“Hormat, hormat, (tolong) hormati (saya).”

Hakikatnya, namun, kekal Mourinho sedang tertekan. Dua kekalahan daripada tiga perlawanan adalah permulaan terburuk United sejak musim 1992-93.

Rekod masa lalu semata-mata tidak dapat melindungi Mourinho daripada kritikan yang difikirkannya tidak diterima pengurus lain.

Sebelum perlawanan pembukaan musim ini menentang Leicester 11 Ogos lalu, Mourinho sudahpun mempersoalkan mengapa pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, dan pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, mendapat layanan lebih baik daripada media berbanding dirinya.

Dia sendiri memberikan jawapannya kepada media: “Adalah sukar untuk saya percaya kami tampil naib juara musim lalu apabila saya mendengar, saya membaca kerana anda (media) boleh membuat orang yang muncul naib juara seperti diturunkan divisyen dan orang yang tidak menang apa-apa seperti pemenang bersiri.”

Hakikatnya akan kekal bahawa Mourinho tidak akan menyenangi media, begitu juga media tidak akan menyukainya.





 

Advertisement

Must Watch Video