RENCANA
Mourinho kempunan tiga mata, OGS terselamat
Gandingan cemerlang Harry Kane dan Son Heung Min ternyata memberikan satu nafas baru buat pengendali Tottenham Hotspur, Jose Mourinho.
Jika sebelum ini bersama pasukan terdahulu, Mourinho cukup dikenali dengan corak permainan bertahan dan gemar "parking bus" di kubu sendiri, namun taktikalnya dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris setakat ini dilihat sedikit berbeza.
15 gol dalam lima perlawanan liga dengan 12 daripadanya dihasilkan gandingan Kane-Son, Mourinho cukup bertuah memiliki dua pemain muda yang cukup memahami antara satu sama lain. Malah, dengan hanya membawa masuk beberapa pemain 'average' seperti Matt Doherty dan Emile Hojbjerg dari Wolves dan Southampton, tiada siapa menyangka Spurs mampu meledakkan gol sebanyak ini dalam lima perlawanan.
Iklan
Kehadiran Gareth Bale dilihat menambah kualiti di jentera serangan Spurs biarpun mereka gagal mempertahankan kelebihan tiga gol sewaktu berdepan West Ham United. Kemasukan Bale pada minit ke 72, dan bolos tiga gol pada 10 minit terakhir permainan bukanlah satu permulaan yang baik buat Bale ataupun Mourinho sendiri. Entah dimana silapnya, mungkin tiga pertukaran pemain yang digunakan kesemua kepada pemain serangan memberikan impak negatif kepada jentera pertahanan.
Manakala bagi pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, tiga gol pada 10 minit terakhir ternyata mengubah keputusan perlawanan yang sekaligus menyelamatkan kedudukannya buat seketika. Jika sebelum perlawanan berdepan Newcastle United, ada ura-ura mengatakan andai United gagal mengutip kemenangan, ada kemungkinan besar OGS akan dipecat dan tempatnya akan diganti oleh Mauricio Pochettino.
Namun segala gosip pertukaran jurulatih atau pertengkaran sesama pemain lenyap selepas para pemain membuktikan sebaliknya. Harry Maguire yang teruk dikecam atas persembahan buruk sama ada bersama kelab atau pun pasukan kebangsaan, mempamerkan aksi cemerlamg dengan meledakkan gol pertama perlawanan.
Bruno Fernandes juga cemerlang beraksi biarpun dikhabarkan berselisih pendapat dengan pengurus OGS, namun beliau membuktikan sebaliknya apabila meledakkan gol cantik pada minit ke 86 biarpun gol pertamanya dibatalkan kerana ofsaid selain gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Kemenangan ini secara tidak langsung menaikkan semula moral para pemain di Old Trafford. Ianya merupakan sesuatu yang amat positif memandangkan empat perlawanan akan datang, The Red Devils bakal berdepan pasukan hebat seperti PSG, Chelsea, RB Liepzig dan Arsenal.
Must-Watch Video