Skip to main content

Rencana

Mourinho: Cengkamannya makin longgar

pogba-mourinho.jpg
Gambarannya tidak mungkin lebih jelas daripada ini – betapa suara Jose Mourinho tidak lagi didengar di kelabnya sendiri.

Ia bukan lagi rahsia bahawa rasa tidak senang hati pemain semakin menular di Manchester United, dengan Paul Pogba, Alexis Sanchez, Marcus Rashford, Matteo Darmian dan Anthony Martial sebagai menamakan beberapa daripada mereka.

Atau lebih tepat lagi, rasa sakit hati pemain-pemain ini hanya berkisar kepada pengurus United itu dan bukan kepada yang lain-lain.

Apa yang harus menjadi penyedap hati ialah Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward, lebih memihak kepada mereka berbanding Mourinho sendiri.

Kepada Woodward jugalah, pemilik United memperturunkan kuasa untuk mengawal dan membendung Mourinho daripada melakukan sesuka hatinya – dan Woodward tidak berlengah untuk menunjukkan siapa yang lebih berkuasa.

Daripada musim panas lalu lagi, Mourinho berasa amat terdesak untuk menjual Martial, yang dengan rela hati mahu pergi untuk mendapatkan lebih banyak masa bermain.

‘The Special One’ bagaikan tidak sabar untuk itu berlaku agar dia boleh membawa masuk Willian daripada Chelsea – pemain yang bersamanya memenangi Liga Perdana Inggeris musim 2014/15 di Stamford Bridge.

Malah, Mourinho dikatakan cuba “bermain kotor” apabila membelakangkan kelabnya dengan menawarkan Martial kepada Chelsea sebagai tukaran buat Willian, yang lapan tahun lebih tua.

Cuba teka apa yang berlaku?

Woodward menawarkan lanjutan kontrak Martial selama lima tahun lagi – untuk membentuk teras pasukan bersama Rashford, Jesse Lingard dan Luke Shaw – hingga cukup untuk membuat muka Mourinho merah padam.

Lebih daripada segala-galanya, ia menyerlahkan semakin longgarnya cengkaman Mourinho dalam musim ketiganya selaku pengurus, terutama dalam urusan berkaitan penjualan dan pembelian pemain yang dihajatinya.

Sebagai tindak balasnya pula, Martial yang terlepas daripada terpilih mewakili Perancis untuk menjuarai Piala Dunia, bulan lalu – sebahagiannya kerana kurang mendapat kepercayaan Mourinho dalam kesebelasan utama United – tidak ragu-ragu untuk kekal di Old Trafford lima tahun lagi.

Ia didasarkan kepada keyakinannya bahawa dia akan terus berada di United lebih lama daripada Mourinho mampu bertahan di kelab itu.

Mourinho, ketika ini, buat-buat tidak faham.

 

 

Advertisement

Must Watch Video