Skip to main content

Rencana

Modal Mourinho waktu sesak

mourinho.jpg
Kekalahan 0-3 kepada Tottenham Hotspur di gelanggang keramat, The Theatre of Dreams, awal pagi tadi bukanlah gambaran sebenar persembahan menarik barisan kendalian Jose Mourinho. 

Bagaimanapun, kekalahan itu bagai menyimpulkan bahawa khidmat pengendali Portugis di situ tidak akan lama. 

Pada perkiraan pemerhati bola sepak, tempoh buat Mourinho semakin suntuk dengan legenda Liga Perdana Inggeris (EPL), Graeme Souness, meramalkan pengendali Portugis itu bakal dipecat menjelang Disember nanti. 

Mourinho menyedari dia tidak mendapat sokongan penuh daripada pemain yang merungut mengenai taktikalnya, termasuk pihak pengurusan yang langsung tidak mengeluarkan kenyataan menyokongnya.

Maka, dalam tempoh getir ini, Mourinho cuba menambat hati penyokong dengan menerapkan permainan menarik. 

Dalam pertemuan dengan Spurs itu, dia sudah pun menyusun percaturan terakhirnya.

Kepulangan Nemanja Matic untuk memperkasakan bahagian tengah membolehkan Paul Pogba lebih bebas di bahagian kanan sambil ditemani bintang baru, Fred.

Luke Shaw serta Chris Smalling antara tonggak yang selesa dengan pendekatan baru itu. 

Hasilnya, satu permainan cantik dipamerkan skuad itu sepanjang babak pertama yang menyaksikan Romelu Lukaku mempersiakan beberapa peluang terhidang untuk meletakkan United di hadapan. 

Begitupun, langkah itu dimatikan oleh anak buahnya sendiri apabila dibolosi tiga jaringan mudah. 

Malangnya, Mourinho gagal lebih awal melaksanakan falsafah permainan ketika pra-musim. 

Dia sedang cuba memperbetulkan segalanya dalam keadaan tersedak -- dalam perlawanan ketiga -- dan masa semakin mencemburuinya. 

 

Advertisement

Must Watch Video