Skip to main content

Rencana

Modal besar belum tentu ada untung

pogba-wanted-to-leave-juventus-marotta.jpg

165 billion pound -- itulah jumlah wang yang telah dibelanjakan oleh kelab dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menguatkan pasukan masing-masing dengan membeli pemain baru.

Kelab-kelab elit dalam EPL seperti Manchester United, Manchester City, Chelsea dan juga juara bertahan, Leicester City, tidak terlepas peluang untuk menguatkan pasukan mereka.

Tetapi adakah pembelian mereka itu akan membawa hasil atau padah pada penghujung musim?

Leicester berjaya mengekalkan Jamie Vardy, Riyad Mahrez dan Danny Drinkwater di dalam skuad mereka, namun jangkaan untuk melihat The Foxes membeli pemain bintang, meleset sama sekali.

Pembelian Nampalys Mendy dari Nice dan Bartosz Kaputskadari Cracovia kurang meyakinkan, Ahmed Musa dari CSKA Moscow menunjukkan sedikit kehebatan, namun masih belum memberi impak yang besar setakat ini. 

Namun, pembelian Islam Slimani dari Sporting Lisbon, yang juga rakan senegara Riyad Mahrez dengan harga 30 juta pound, mungkin memberi sedikit sinar bagi The Foxes. Kehilangan paling besar bagi Leicester adalah pemergian N’golo Kante ke Chelsea.

Bagaikan mengulangi cerita yang sama setiap musim, Arsenal kali ini juga dilihat kurang aktif dalam pencarian pemain baru untuk menguatkan pasukan sehinggalah dua pembelian pada hari terakhir jendela perpindahan.

Arsene Wenger membawa Granit Xhaka dari Borussia Monchengladbach dan Rob Holding dari Bolton dan selepas beberapa persembahan kurang meyakinkan, peminat mendesak Wenger untuk membeli lagi pemain dan pengurus berbangsa Perancis itu membalas dengan membawa masuk Shkodran Mustafi dan Lucas Perez.

Mustafi seorang pemain pertahanan tengah yang dijangka menguatkan pertahanan Arsenal, namun mereka masih lagi dilihat agak tumpul di bahagian hadapan walaupun dengan kehadiran Lucas Perez.

Keputusan Arsenal untuk meminjamkan Jack Wilshere kepada Bournemouth juga mengejutkan ramai walaupun pemain itu sering ditimpa kecederaan.

Seperti Leicester City, Tottenham Hotspur juga berjaya mengekalkan pemain bintang seperti Harry Kane dan Delle Ali, namun pemain yang dibeli mereka juga dilihat tidak begitu meyakinkan.

Selain Victor Wanyama, yang akan memberi perlindungan yang kebal di bahagian tengah, pembelian Vincent Janssen, Georges-Kevin N’Koudou dan Moussa Sissoko belum dapat meyakinkan peminat kerana mereka akan bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Bagi Manchester City pula, Pep Guardiola tidak teragak-agak untuk membuang pemain dan juga membeli pemain yang beliau inginkan.

Joe Hart, Samir Nasri, Eliaquim Mangala dan Wilfred Bony semua telah dipinjamkan walaupun nama-nama inilah yang membawa City ke persada liga hanya beberapa musim yang lalu.

Pep juga bijak dalam pembelian, dengan membawa masuk Ilkay Gundongan, Nolito, Gabriel Jesus dan juga Claudio Bravo ke kota Manchester.

Nolito dan Stones sudah mula menunjukkan bakat mereka dalam beberapa perlawanan musim ini manakala Claudio Bravo, pada usia 33 tahun, harus membuktikan dia layak dan boleh bermain dalam EPL yang lebih agresif.

Begitu juga Manchester United, Jose Mourinho dan Red Devils tidak begitu agresif pada hari terakhir jendela perpindahan kerana mereka sejak awal lagi membeli pemain yang diinginkan.

Memecah rekod perpindahan untuk Paul Pogba, menandatangani Henrik Mkhitaryan, Zlatan Ibrahimovic dan Eric Bailly setakat ini telah menunjukkan hasil apabila mereka memenangi kesemua empat perlawanan pembukaan mereka musim ini.

Mourinho juga banyak mengekalkan pemain lama, menyedari Manchester United akan terlibat dengan jadual ketat dalam EPL, Liga Europa, Piala FA Inggeris dan Carling Cup musim ini.

Selain Man Utd, Chelsea juga aktif dalam pembelian pemain musim ini, dengan membawa masuk Marcos Alonso, Michy Batshuayi, N’Golo Kante dan David Luiz.

Pujian harus diberikan apabila mereka berjaya mendapatkan Kante yang sama sekali menguatkan bahagian tengah Chelsea, namun keputusan untuk membeli kembali David Luiz dari PSG dipersoalkan ramai.

Pernah bersama Chelsea satu ketika dahulu, Luiz sering dikritik atas persembahan tidak konsistennya dan juga kesilapan mudah yang sering dilakukan, sama ada di peringkat kelab atau di peringkat antarabangsa bersama Brazil. Kebarangkalian Luiz akan membantu Chelsea musim ini masih diragui.

Selain Sadio Mane, pasukan Liverpool juga dilihat gagal untuk membawa pemain bertaraf bintang ke Anfield musim ini.

Mane telah membuktikan dia layak bermain di kelab berstatus elit, namun Loris Karius, Joel Matip dan Ragnar Klavan dilihat tidak dapat membawa impak besar dan Georgino Wijnaldum pula harus membuktikan dia boleh bermain dengan konsisten sepanjang musim.

Namun, mereka berjaya menjual Christian Benteke, Jordon Ibe, Joe Allen dan Martin Skrtel dengan harga yang agak mahal, jadi berkemungkinan Jurgen Klopp dapat mengimbangi pasukan dan bagaimana Liverpool akan beraksi pada musim ini masih dinanti-nantikan.

Sememangnya daya tarikan bermain dalam liga terkenal dunia, EPL, tidak dapat dinafikan lagi.

Pogba, Ibrahimovic, dan Gundongan merupakan nama besar yang akan membuatkan perebutan takhta liga musim ini menjadi lebih sengit!

Advertisement

Must Watch Video