Skip to main content

Rencana

Misi tawan Hanoi bukan mustahil

shahrul-saad.jpg
Aksi final kedua Piala AFF 2018 di Hanoi pada Sabtu ini akan menentukan juara saingan serantau itu kali ini selepas aksi pertama di Bukit Jalil berakhir dengan 2-2.

Di atas kertas, sudah pasti kelebihan tampak milik Vietnam, apatah lagi skuad “Naga Emas” itu turut membawa bekalan dua gol di tempat lawan.

Untuk muncul juara, skuad negara perlu mengatasi Vietnam di Stadium My Dinh atau sekurang-kurangnya seri dengan jaringan 3-3.

Empat tahun lalu, penulis berada di Hanoi untuk saingan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF.

Ketika itu, skuad kendalian Dollah Salleh yang menampilkan ramai tonggak veteran dan berpengalaman tewas 1-2 dalam aksi pertama di Shah Alam.

Terus terang, penulis sendiri berasa perjalanan Harimau Malaya ketika itu akan berakhir dalam separuh akhir.

Namun, keajaiban yang diharapkan benar-benar berlaku apabila skuad negara menewaskan Vietnam 4-2 di Hanoi dan mara ke final secara agregat 5-4.

Apa pun, kelemahan yang ditonjolkan dalam aksi final pertama perlu segera ditangani pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, untuk aksi penentuan di Hanoi.

Hakikatnya, aksi final pertama sedikit longlai apabila Cheng Hoe terpaksa memasukkan tiga pemain gantian di posisi pertahanan kerana masalah penggantungan dan kecederaan.

Penulis tidak menafikan, Nazirul Naim, Amirul Azhan Aznan dan juga Irfan Zakaria sudah mengerah segala kudrat.

Namun, ia sukar bagi mereka untuk mengekang serangan Vietnam meskipun beraksi di laman sendiri pada 11 Disember lalu.

Penulis menjangkakan Aidil Zafuan Abdul Radzak, Syazwan Andik Ishak dan juga Syami Safari untuk kembali dalam kesebelasan utama di Hanoi.

Cuma, penulis berharap Cheng Hoe menimbang kemungkinan menggunakan formasi 3-4-3 atau 3-5-2 di Hanoi.

Ketika aksi berdepan Vietnam di Bukit Jalil, Cheng Hoe melakukan perubahan taktikal dalam babak kedua dengan menggunakan formasi 3-4-3.

Adam Norazlin yang masuk sebagai pemain gantian menggantikan Nazirul dalam pertengahan babak pertama, beraksi sebagai bek tengah dalam babak kedua untuk membentuk gandingan bersama Shahrul Saad dan Irfan Zakaria yang tampak berkesan.

Shafiq Ahmad yang masuk menggantikan Azhan turut beraksi cemerlang sebagai bek sayap kanan.

Justeru, dengan kembalinya Syazwan, Syahmi dan Aidil untuk aksi di Hanoi, penulis percaya Cheng Hoe akan kembali mempunyai ramuan mencukupi untuk menjerat Vietnam.

Penulis turut menekankan keberkesanan formasi 3-4-3 kerana pemain B-23 dalam skuad negara seperti Safawi Rasid, Adam, Syahmi, Syazwan dan Irfan biasa dengan formasi ini bersama Datuk Ong Kim Swee.

Kini terserah kepada Cheng Hoe mencanang pendekatan terbaik bagi menyekat Vietnam.

Daripada segi mental, penulis berharap barisan pemain sedar ia bukan sesuatu mustahil buat mereka menewaskan Vietnam di Hanoi kerana ia pernah dilakukan sebelum ini.

Kepada skuad kebangsaan, “selamat berjuang” dan semoga kejuaraan kedua Piala Suzuki AFF menjadi kenyataan.
 

Advertisement

Must Watch Video